[VIDEO] Bekas calon PRN Johor didakwa salah guna wang pertubuhan

Iklan

JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan menyalahgunakan wang sebuah pertubuhan berjumlah RM21,000, lima tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Aziz Harun, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan
Iklan

Tertuduh yang pernah menjadi calon sebuah parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram pada 2022, didakwa melakukan kesalahan itu ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Johor Bahru.

Bagi pertuduhan pertama, Abdul Aziz didakwa dengan curangnya telah menyalahgunakan wang berjumlah RM2,000 milik jawatankuasa tersebut pada 9 Oktober 2020 di sebuah bank di Bandar Baru Permas Jaya.

Iklan

Manakala bagi pertuduhan kedua, beliau sekali lagi didakwa atas perbuatan sama membabitkan jumlah RM5,000 pada 29 November 2021 di lokasi yang sama.

Abdul Aziz (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis atas tiga pertuduhan menyalahgunakan wang sebuah pertubuhan, lima tahun lalu.

Pertuduhan ketiga pula melibatkan penyalahgunaan wang sebanyak RM14,000 pada 31 Disember 2021.

Iklan

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebatan, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin dan diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Siti Asmah meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 untuk ketiga -ketiga pertuduhan namun Muhammad Rafique meminta jumlah tersebut dikurangkan.

Dalam hujahannya Muhammad Rafique memberitahu tertuduh mempunyai tanggungan tiga orang anak yang masih belajar dan perlu menjaga ibunya.

Selain itu katanya, perniagaan tertuduh tidak berapa baik ketika ini namun tertuduh tetap memberi kerjasama yang baik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang 17 kali dipanggil untuk membantu siasatan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan sebutan semula kes pada 28 Mei depan.

Dalam pada itu, Muhammad Rafique memberitahu pertubuhan tersebut telah dibubarkan dan anak guamnya itu tidak lagi menyandang mana-mana dalam parti politik ketika ini.