RAMAI ibu bapa meluahkan rasa terkilan di media sosial masing-masing apabila tular video memperlihatkan seorang artis membuat persembahan di sekolah dengan berpakaian agak ketat dan berjoget di dalam kawasan institusi pendidikan tersebut.
Sedangkan, di situlah tempat anak-anak kita menimba bukan sahaja ilmu akademik, tetapi juga ilmu agama yang membentuk sahsiah dan jati diri mereka.
Malangnya, hiburan sebegitu dilihat ‘mencacatkan’ pemandangan kerana ia menjadi bahan tontonan para guru dan pelajar yang menjadi pelapis masa hadapan negara.
Situasi itu mendapat perhatian Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi yang tampil menegur perbuatan tersebut menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Dalam kegembiraan menyambut Syawal, beliau mengingatkan agar kita tidak mencemari kemuliaan Aidilfitri dengan perbuatan dosa.
"Namun, apa yang membimbangkan, kita pula yang mengembalikannya dengan sifat sambutan jahiliah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantarannya di Facebook miliknya pada Khamis.
Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan bagi kamu hari yang lebih baik daripada (perayaan jahiliah) terdahulu iaitu Hari Raya Aidildha dan Hari Raya Aidilfitri.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Lebih-lebih lagi, umat Islam baru sahaja menyempurnakan ibadah zakat fitrah sebelum solat sunat Aidilfitri lebih dua minggu lalu untuk menyucikan kekurangan sepanjang berpuasa pada bulan Ramadan lalu.
Menurut Dr Ahmad Sanusi, zakat fitrah bukan sekadar kewajipan, tetapi bertujuan menyempurnakan puasa yang mungkin tercemar dengan perkara lagha (sia-sia) dan dosa.
Beliau merujuk kepada sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA: "Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah itu adalah bagi menyucikan (kekurangan) orang yang berpuasa daripada melakukan perkara yang lagha (sia-sia) dan dosa.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Mengakhiri teguran itu, beliau turut menukilkan nasihat berharga daripada tokoh sufi terulung, Bisyr Al-Hafi yang terkandung dalam kitab Miftah al-Afkar sebagai renungan kita bersama.
Kata Bisyr Al-Hafi:"Sesungguhnya terdapat satu kaum yang beribadah dalam bulan Ramadan dan bersungguh dalam amalan. Apabila hilang Ramadan, mereka meninggalkan semua (kebaikan itu). Inilah sejahat-jahat kaum. Mereka hanya mengenal ALLAH dalam bulan Ramadan.”