IPOH - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden provokasi dan kekerasan terhadap seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ketika menjalankan tugas di sebuah restoran di Menglembu di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anggota penguat kuasa pada jam 6.43 petang.
Menurutnya, semasa pasukan penguat kuasa sedang menjalankan tugas sitaan kerusi dan meja, seorang pekerja restoran melakukan provokasi.
"Berdasarkan siasatan, tindakan sitaan itu dilakukan berdasarkan aduan diterima daripada Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI.
"Bagaimanapun semasa melakukan tugas, seorang pekerja restoran berkenaan telah mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi.
"Seorang anggota penguat kuasa telah ditumbuk oleh individu terbabit," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Insiden tersebut tular melalui satu video yang dimuat naik oleh akaun media sosial 'Happy Boss Network' memaparkan tindakan penguatkuasaan oleh pasukan MBI di restoran berkenaan.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan kes itu telah dimulakan dengan merakam keterangan daripada saksi-saksi terlibat.
Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 353/186 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan atau menghalang penjawat awam daripada menjalankan kewajipan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana mengeluarkan kata-kata kesat.
"Polis memandang serius kejadian ini dan meminta orang ramai agar bertenang serta tidak mengambil tindakan bertentangan dengan undang-undang.
"Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menggugat keharmonian masyarakat di media sosial," katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Sheikh Fateeha Iman di talian 010-290 8095 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.