IPOH - Kerajaan Perak telah mengenal pasti kawasan baharu di tiga lagi daerah yang berpotensi mempunyai sumber bahan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) selain Hulu Perak dengan jumlah rizab sebanyak kira-kira 1.7 juta metrik tan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan kajian awal yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, daerah itu termasuklah Kuala Kangsar, Kinta serta Larut Matang dan Selama.
Menurutnya, bagaimanapun, sebanyak 70 hingga 80 peratus daripada kawasan yang berpotensi mempunyai rizab NR-REE ini terletak di dalam kawasan hutan simpan.
"Kerajaan negeri juga telah diperakukan kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek perintis aktiviti NR-REE di dalam hutan simpan.
"Kejayaan projek perintis yang dilaksanakan secara terancang dan sistematik mengikut SOP (prosedur operasi standard) telah membolehkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberi kepercayaan kepada Perak untuk melaksanakan projek perintis NR-REE di dalam hutan simpan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Steven Tiw Tee Siang (PH-Tronoh) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Sementara itu, Saarani memaklumkan, terdapat tiga kes perlombongan haram NR-REE yang telah diambil tindakan dari tahun 2019 hingga 2023.
Katanya, dalam tempoh itu seramai 31 individu melibatkan 10 warga tempatan dan 21 warga asing telah ditahan dan didakwa mengikut Akta Perhutanan dan Akta Imigresen.
Jelasnya, kes tersebut berjaya ditangani hasil kerjasama oleh Jabatan Perhutanan Perak, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak dan pihak polis.
Beliau berkata, tangkapan dibuat terhadap pelaku melibatkan aktiviti perlombongan haram NR-REE di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Ulu Piah yang terletak di daerah Hulu Perak.