Konsultan maut tercampak keluar dari SUV

Iklan
Mangsa tercampak keluar dari kenderaan terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Foto ihsan PDRM

MARAN - Seorang konsultan maut selepas tercampak keluar dari kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaikinya yang terbabas di Kilometer (KM) 147.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, penumpang belakang SUV jenis Toyota Fortuner, Muhammad Hisyamuddin Abdul Samad, 54, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dua pengurus projek dan seorang pengarah syarikat pula mengalami kecederaan parah.

Keadaan Toyota Fortuner yang dinaiki mangsa bersama tiga lagi lelaki dalam kejadian tersebut. Foto ihsan PDRM

Menurutnya, siasatan awal mendapati SUV yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Subang Jaya menghala ke Kuala Terengganu.

Iklan

"Apabila sampai di tempat kejadian keadaan hujan lebat, SUV terbabit telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan seterusnya kenderaan berpusing sehingga ke lorong kanan.

"Akibat kemalangan tersebut mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Klinik Kesihatan Awah," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Ujarnya, pemandu bersama dua penumpang iaitu lelaki berusia 34 dan 56 tahun mengalami kecederaan parah dan dibawa oleh ambulans ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut.

Jelasnya, bedah siasat akan dijalankan di hospital sama pada Khamis.

Katanya lagi, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.