China kekal rakan paling penting Malaysia - Anwar

Iklan
Anwar (kanan) bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) sempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan China kekal sebagai rakan dagang paling penting Malaysia lebih-lebih lagi dalam keadaan kekalutan sistem perdagangan global ketika ini susulan pelaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, inisiatif global China memberikan harapan kerana ia berlandaskan pendekatan minda terbuka dan bukan mementingkan diri sendiri dan tidak berkisar tentang persaingan tetapi pembaharuan semula ketika dunia berada dalam keadaan tertekan disebabkan oleh pelaksanaan tarif oleh AS.

Iklan
Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sesetengah negara telah meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab dan yang lain-lain mempersoalkan komitmen yang telah lama wujud.

"Dalam tempoh yang sukar ini, dunia mengharapkan keadaan yang stabil, kebolehpercayaan dan tujuan (dan) kita melihat ini dalam pendekatan China.

Iklan

Beliau berkata, kehadiran China di negara ini mencakupi pelbagai pembangunan daripada aliran barangan dan idea kepada transformasi tenaga, infrastruktur dan inovasi, namun kekuatan sebenar hubungan ini bukan sekadar hanya pada angka perdagangan atau statistik pelancong.

"Ia terletak pada pemahaman mendalam - untuk mempertahankan kemakmuran, ia perlu dikongsi; dan kepercayaan itu, yang telah dipupuk perlu dijaga dengan baik dengan sabar dan komited," kata Anwar.

Iklan

Perdana Menteri juga berkata di bawah kepimpinan Jinping, China telah menggariskan satu siri inisiatif global yang mencerminkan pandangan dunia yang tersendiri.

"Inisiatif Jalur dan Laluan menunjukkan bahawa ketersambungan bukan sebagai rangkaian jalan raya dan rel, tetapi sebagai rangka kerja untuk kerjasama," katanya. - Bernama