GEORGE TOWN - Polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak mengenai sambutan Songkran di sebuah premis tepi laut di Batu Feringghi yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pemantauan polis sepanjang acara itu berlangsung juga tidak mengesan sebarang insiden tidak diingini.
"Sehingga kini, tiada laporan polis diterima mengenai penganjuran sambutan pesta Songkran ini di Feringghi Bay,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, restoran yang menganjurkan sambutan tersebut didapati mempunyai lesen perniagaan dan tempat hiburan am daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
"Memandangkan acara sambutan itu diadakan di dalam kawasan persendirian iaitu Feringghi Bay, maka pihak penganjur tidak memohon permit daripada polis," katanya lagi.
Sebelum ini, polis memaklumkan penganjuran sambutan Songkran di kawasan pantai awam Batu Feringghi pada Ahad lalu tidak mempunyai sebarang permit.
Ia susulan penularan video berdurasi 37 saat di media sosial yang memaparkan beberapa wanita menari dalam keadaan berpakaian mencolok mata di atas bangunan premis terbabit.
Difahamkan, premis berkenaan hanya terletak kira-kira 50 meter dari sebuah masjid, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.