Chef Wan perjelas isu cuit, Iddin jawab kritikan

Iklan
Gambar ketika sesi siaran langsung di televisyen tempatan itu yang dikongsi Chef Wan.

SHAH ALAM - Video memaparkan cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan mencuit pendakwah bebas dan pempengaruh, Iddin Ramli ketika bersiaran langsung dalam sebuah program televisyen tempatan meraih perhatian ramai.

Menyedari video yang tular itu, Chef Wan tampil memberi penjelasan menerusi media sosialnya bagi menjawab isu yang menjadi bualan ramai.

Iklan
Iklan

Menurut Chef Wan, tindakannya mencuit Iddin disebabkan menerima arahan daripada pihak produksi untuk menegur Iddin yang pada ketika itu sedang membaca doa terlalu panjang, sedangkan azan bakal berkumandang tidak lama lagi.

"Saya diberi arahan oleh 'floor manager' untuk menegur Iddin supaya mempercepat dan mengakhiri doanya. Jadi, saya takut sama ada hendak memberitahu dia atau tidak, risau nanti tular pula. Nanti saya pula yang disalahkan.

Iklan

“Akhirnya saya cuit juga kerana 'floor manager' (pengurus pentas) dan pengarah sudah tidak sabar lagi. Saya cuit dia dan terbukalah matanya,” katanya.

Chef Wan menambah, pada ketika itu beliau berpendapat Iddin kemungkinan baru pertama kali menyertai rancangan siaran langsung.

Iklan

“Saya rasa selepas itu Iddin ada kata dia tidak perasan sebab pertama kali datang ke program siaran langsung. Dia pun baca doa yang berjela panjang, matanya pun tertutup.

“Di hadapan kami, 'floor manager' dan kru produksi sudah memberi isyarat berkali-kali untuk mengakhiri bacaan. Iddin tidak nampak," ujarnya.

Meskipun melalui kisah yang tidak diduga itu, Chef Wan menyifatkan ia sebagai pengalaman menarik baginya.

Sementara itu, Iddin menerusi perkongsian di TikTok tampil menjawab kritikan terhadap dirinya.

Beliau pada masa sama meluahkan rasa kesal apabila terdapat pihak yang menuduhnya sengaja berlebih-lebihan dan riak ketika memimpin doa sehingga dianggap tidak sesuai dalam majlis berkenaan.

"Saya berdoa pun awak kutuk, seolah-olah saya membawa fitnah besar kepada agama. Ramai sangat yang mengkritik dan mengatakan saya mahu menunjuk-nunjuk dalam berdoa serta tidak belajar adab.

"Saya baru perasan saya ada slot untuk berdoa. Saya tidak sempat membuat persediaan rapi. Saya hanya dimaklumkan mengenai slot bacaan doa itu pada saat akhir ketika dalam perjalanan ke studio," katanya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai kontroversi berkenaan, Iddin berkata tempoh bacaan pada asalnya dianggarkan sekitar dua minit, namun ketika sedang berdoa dengan mata tertutup, beliau tidak menyedari bahawa pengurus produksi telah memberikan isyarat supaya menghentikan bacaan tersebut.