KUANTAN - Sebanyak 2,556 rakyat di Pahang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan terhadap tindakan tegas kerajaan negeri dalam menangani isu pencerobohan tanah kebun durian haram di tanah milik kerajaan khususnya di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sekitar Raub dan daerah lain, setakat jam 9 pagi.
Petisyen yang dimulakan Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP) yang mahu bersama pihak kerajaan dalam mempertahankan hak negeri, undang-undang dan kelestarian alam sekitar demi kepentingan jangka panjang seluruh rakyat di negeri ini.
Sokongan turut dizahirkan terhadap titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menegaskan bahawa mana-mana peneroka yang menceroboh tanah kerajaan tanpa kebenaran adalah melakukan kesalahan dan undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil tanpa pilih kasih.
"Kami berdiri teguh bersama pihak kerajaan dalam mempertahankan hak negeri, undang-undang, dan kelestarian alam sekitar demi kepentingan jangka panjang seluruh rakyat negeri Pahang.
"Kami juga menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menegaskan mana-mana peneroka yang menceroboh tanah kerajaan dan hutan simpan kekal tanpa kelulusan adalah melakukan kesalahan.
"Undang-undang mesti ditegakkan tanpa pilih kasih. Tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang,” kata MTSP dalam satu kenyataan itu.
Pihak MTSP turut menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan Pahang dan institusi diraja dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang, maruah negeri dan kelestarian alam.
Menurut kenyataan itu, beberapa perkara utama yang disokong dalam petisyen terbabit antaranya, sebarang bentuk penerokaan tanah secara haram tanpa kebenaran mestilah dihentikan serta-merta.
Tambah kenyataan itu, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan dan merosakkan ekosistem.
"Kerajaan Pahang harus terus mempertahankan dasar pemuliharaan hutan dan sumber asli negeri dengan tegas dan adil.
"Program pemutihan kebun hanya wajar ditawarkan kepada mereka benar-benar layak dan mematuhi syarat ditetapkan.
"Semua tindakan yang diambil mestilah berpaksikan keadilan, integriti dan demi kemaslahatan rakyat," jelas kenyataan itu.