LOT parkir sememangnya satu keperluan penting terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan seperti pangsapuri, flat dan sebagainya; namun masalah tidak cukup lot parkir hingga berlakunya parkir bertindih, menghalang kenderaan orang lain merupakan antara masalah yang kerap kali dihadapi oleh penduduk.
Akibatnya, mulalah penduduk meletak kereta di merata-rata tempat seperti di tepi jalan, di depan rumah penduduk lain dan malah ada yang hingga menghalang laluan utama dan sekali gus menjadi punca kesesakan dan kemalangan kecil.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI berhubung permasalahan tersebut di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, Johor Bahru.
Bagi penduduk, Mohd Nazri Juri, 46, masalah parkir di PPR berkenaan seringkali menimbulkan kesukaran kepada orang ramai untuk keluar bekerja, menghantar anak ke sekolah atau untuk urusan-urusan tertentu.
Malah katanya, dia sendiri kadangkala terpaksa menunggu 15 hingga 20 minit atau lebih lagi bagi menunggu pemilik kenderaan yang menghalang keretanya mengalihkan kenderaan dan dari lot parkir yang disediakan.
"Masalah timbul apabila kereta yang diparkir di sebelah dalam nak keluar, tetapi terhalang oleh kenderaan lain, tambahan pula tiada nombor telefon ditinggalkan dan brek tangan pula ditarik.
"Mujur juga ada kumpulan WhatsApp komuniti PPR di sini, kita boleh beritahu terus atau siapa-siapa yang kenal pemilik kenderaan untuk alihkan, tapi takkanlah 24 jam orang asyik nak tengok telefon sahaja,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Marwan Mundir, 64, turut menyuarakan mengenai masalah parkir di PPR berkenaan yang sering kali memberikannya masalah setiap kali mahu ke hospital bagi membuat rawatan susulan.
Katanya, jika keretanya di lot parkir terhalang oleh kenderaan lain, dia terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi, e-hailing atau meminta bantuan rakan-rakan untuk membawanya ke hospital.
"Masalah parkir di sini memang betul-betul berikan masalah dan boleh menyebabkan hilang sabar.
"Macam saya yang kena selalu pergi ke hospital untuk dapatkan rawatan dan sudah pasti saya selalu terlambat ke hospital.
"Nak minta tolong jiran-jiran untuk alihkan kenderaan pun masalah juga, sebab kenderaan yang halang kereta tu tidak letak nombor telefon untuk dihubungi, jadi memang susahlah.
"Terpaksalah harap kawan-kawan datang tolong, walaupun lewat ke hospital tapi terpaksalah, asalkan tak terlepas untuk rawatan susulan saya,” katanya.
Bagi seorang lagi penduduk, Siti Norma Hassan, 57, masalah parkir di kawasan berkenaan semakin meruncing terutamanya pada waktu malam.
Katanya, keadaan itu akan bertambah buruk pada hari cuti kerana akan berlaku parkir berlapis hingga menyukarkan kenderaan untuk keluar.
"Ada kalanya bila hujung minggu duduk sahaja di rumah atau jika perlu akan gunakan pengangkutan awam.
"Jika balik dari kedai beli barang, tidak ada ruang parkir, terpaksalah parkir jauh. Memang penatlah jalan kaki kena angkat barang,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Amijul Azra Aziz, 25, mengharapkan agar masalah parkir di PPR berkenaan dapat diatasi segera untuk keselesaan bersama.
Katanya, pihak pengurusan perlu segera bekerjasama dengan pihak berwajib untuk atasi masalah ini.
"Keadaan parkir di sini semakin hari kian meruncing.
"Paling teruk, parkir berlapis ini menghalang lori pengangkut sampah masuk, sehingga mengakibatkan kesesakan jalan di dalam PPR ini,” katanya.
Perkenalkan sistem kupon satu rumah, satu kereta
PENGERUSI Persatuan Penduduk Blok B, PPR Kempas, Ibrahim Ismail, 62, mencadangkan agar sistem kupon dimulakan di PPR berkenaan dengan satu rumah satu kereta.
Katanya, pengenalan kepada sistem tersebut dilihat mampu menangani permasalahan parkir di PPR tersebut.
Malah katanya, sistem kupon parkir tersebut sudah pun digunakan di beberapa kawasan pangsapuri dan ia wajar dicontohi oleh pihak pengurusan di PPR berkenaan.
"Penduduk kena akur, ini PPR dan ruang parkir amat terhad. Jadi sebuah rumah perlu daftar satu sahaja kenderaan kecuali motosikal.
"Jadi, kita tahu hanya penduduk yang sah sahaja yang dibenarkan masuk dan parkir di dalam kawasan PPR dan yang tak ada kupon, kena parkir di luar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Ibrahim, jika sebuah rumah ada dua kereta atau lebih, terpaksa letakkan di luar. Jika tidak, sampai bila ruang parkir di dalam PPR ini sesak,” ujarnya.
Tambah Ibrahim, pihak pengurusan PPR juga boleh mula mengadakan sistem berpalang di pondok pengawal di pintu masuk utama ke PPR tersebut.
"Palang hanya akan dibuka untuk kereta yang memiliki kupon. Yang tak ada kupon tidak boleh masuk.
"Jika nak masuk perlu isi borang dan nyatakan berapa lama nak masuk atau ada urusan apa masuk ke sini (PPR),” katanya.
Selain itu, Ibrahim turut mencadangkan agar mana-mana kenderaan yang didapati terbiar terlalu lama di lot parkir PPR berkenaan ditunda keluar.
Katanya, hasil tinjauan yang dibuat, didapati memang ada kenderaan usang atau rosak diletakkan di lot-lot parkir penduduk.
"Daripada maklumat yang saya dapat, ada kenderaan yang pihak bank nak tarik sebab tak bayar termasuklah ada kenderaan curi yang diletakkan di sini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Jadi perkara ini kita akan banteras segera.
"Kita juga tidak mahu, kenderaan usang dan rosak ini menjadi tempat pembiakan nyamuk dan sarang tikus yang menimbulkan masalah kesihatan kepada penduduk,” katanya.