Dah tua pun takut jumpa doktor

Iklan
Iatrophobia atau fobia terhadap doktor, sering dikaitkan dengan trauma lampau, takut kepada jarum atau bimbang tentang keputusan diagnosis. Gambar hiasan

USIA semakin bertambah, namun rasa takut untuk berjumpa doktor tetap wujud dalam kalangan sesetengah individu dewasa.

Ia bukanlah perkara baharu, malah kerap menjadi bahan jenaka dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan. Namun, hakikatnya situasi ini boleh membawa implikasi serius terhadap kesihatan seseorang.

Iklan
Iklan

Isu ini dikenali sebagai iatrophobia (fobia terhadap doktor), yang sering dikaitkan dengan trauma lampau, takut kepada jarum atau bimbang tentang keputusan diagnosis.

Kisah takut jumpa doktor atau enggan ke klinik atau hospital ini berlaku dalam keluarga penulis sendiri baru-baru ini. Puas dipujuk rayu anak-anak, namun si ibu tetap berdegil walau sudah terbaring sakit. Jalan akhir, terus panggil ambulans, Alhamdulillah, termakan juga dengan pujukan petugas ambulans.

Iklan

Ketakutan ke hospital itu mungkin berpunca daripada pengalaman lampau yang dialaminya. Saudara penulis itu pernah beberapa kali masuk hospital dan menjalani pembedahan.

Satu kajian oleh Journal of Geriatric Medicine pada 2019 menunjukkan bahawa sebahagian warga emas mengelakkan rawatan perubatan kerana pengalaman negatif mereka di klinik atau hospital.

Layanan kurang mesra, masa menunggu yang lama atau prosedur yang dianggap invasif boleh menjadi punca trauma. Kajian Universiti Malaya pula mendapati 18 peratus warga emas merasa tertekan apabila berurusan dengan kakitangan perubatan yang kurang empati.

Iklan

Isu menunggu lama ini pernah dialami suami penulis. Dalam keadaan yang teramat sakit, dia 'disidai' selama enam jam di lobi menunggu wad kecemasan walaupun memang sudah disahkan doktor yang merawat 'perlu masuk wad'.

Mungkin prosedur hospital tetapi kasihan pesakit terutamanya bayi dan kanak-kanak yang turut menerima 'layanan' seperti itu.

Selain itu, masalah fizikal seperti kesukaran berjalan atau kebergantungan kepada ahli keluarga turut menyumbang kepada ketidakselesaan warga emas untuk ke klinik atau hospital. Ada juga dalam kalangan mereka malu dan tidak mahu menyusahkan keluarga.

Sikap takut berjumpa doktor juga mungkin berkaitan dengan mitos dan salah faham tentang rawatan. Sebagai contoh, sesetengah individu percaya bahawa menemui doktor bermakna mereka akan 'mencari penyakit' atau terpaksa menjalani pembedahan. Mitos seperti ini sering disebarkan tanpa bukti dan boleh menyebabkan ramai memilih untuk mengabaikan kesihatan mereka.

Menurut laporan World Health Organization (WHO), kegagalan mendapatkan rawatan awal akibat ketakutan atau penangguhan berjumpa doktor meningkatkan kos rawatan kesihatan jangka panjang sehingga 40 peratus.

Kos rawatan komplikasi seperti amputasi akibat diabetes atau kemoterapi lanjut untuk kanser tahap tinggi jauh lebih tinggi berbanding pemeriksaan awal yang boleh mengesan penyakit pada peringkat awal.

Ketakutan berjumpa doktor ini sebenarnya tidak hanya melibatkan generasi lama, malah individu yang lebih muda juga tidak terkecuali. Pendidikan dan kempen kesedaran memainkan peranan penting dalam membetulkan salah faham dan menghapuskan stigma terhadap rawatan perubatan.

Peranan keluarga juga amat penting dalam membantu individu yang takut berjumpa doktor.

Sokongan moral, pujuk rayu, dan kesabaran adalah kunci untuk meyakinkan mereka. Sebagai contoh, membawa ahli keluarga yang enggan ke klinik secara santai atau menjadikan lawatan doktor sebagai aktiviti keluarga boleh mengurangkan tekanan dan kebimbangan.

Rasa takut berjumpa doktor adalah isu yang memerlukan perhatian serius. Dalam dunia moden yang serba canggih ini, penjagaan kesihatan sepatutnya menjadi keutamaan, bukan sesuatu yang menakutkan.

Penulis percaya, dengan pendidikan, sokongan keluarga, dan pendekatan mesra, kita dapat membantu individu mengatasi ketakutan ini dan memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.

* Puperahaizad Darsono ialah Sub Editor Sinar Harian