KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan menegaskan bahawa alasan majikan seperti ‘tidak tahu’ atau ‘terlalu sibuk’ tidak boleh diterima sekiranya gagal mendaftar pekerja mereka mengikut peruntukan undang-undang.
Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaakob berkata, tahun ini seramai 8,000 majikan sudah mencarum namun masih ramai yang tidak menjalankan tanggungjawab itu terutama kontraktor kecil, peniaga kantin dan pengawal keselamatan sekolah.
Beliau memberitahu, kebanyakan yang belum mendaftar ialah majikan baharu.
"Kita tidak boleh menerima alasan itu kerana sudah menjadi tanggungjawab majikan untuk mencarum.
"Sebelum ini sudah berlaku ada pekerja tidak dapat menuntut hak mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri PERKESO pada Rabu.
Beliau memberitahu, sebanyak 53 kompaun sudah dikenakan kompaun tahun lalu dengan nilai RM23,500 manakala tahun ini sebanyak 15 kompaun membabitkan nilai RM3,000.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menggesa majikan yang degil mendaftar dan mencarum, mengambil peluang sempena Bulan Pemutihan PERKESO dari 1 hingga 30 April ini.
Sepanjang tempoh berkenaan majikan terbabit tidak dikenakan sebarang tindakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
Nora memberitahu, mana-mana majikan gagal mencarum pekerja dalam tempoh sebulan yang diberikan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969.
Dalam pada itu, Nora turut mengingatkan supaya pekerja sendiri mengambil peluang mencarum melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh.
Beliau memberitahu, kerajaan meluluskan peruntukan sebagai inisiatif untuk individu yang bekerja sendiri mendaftar dengan PERKESO.
"Jumlah caruman keseluruhan ialah kira-kira RM232 namun pencarum hanya mengeluarkan wang sebanyak RM70 sahaja," katanya.