KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan RHB Bank kekal sebagai penaja platinum eksklusif Pameran Pelancongan Antarabangsa MATTA Fair 2025.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, kerjasama berterusan buat kali keempat ini membuktikan kepercayaan yang kukuh terhadap kekuatan MATTA Fair sebagai platform utama pelancongan negara.
"Sokongan berterusan RHB Bank sebagai penaja platinum eksklusif kami menyerlahkan kekuatan kerjasama dan perkongsian dalam memacu pertumbuhan industri pelancongan Malaysia.
"Kerjasama ini secara langsung memberi manfaat kepada ahli-ahli MATTA dengan meningkatkan akses kepada penyelesaian kewangan yang memperkasakan mereka untuk menawarkan pakej pelancongan yang lebih baik kepada pengguna dan meningkatkan pengalaman mereka," katanya pada sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Presiden MATTA, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah dan Ketua Transaktor dan Penyimpan RHB Bank, Marcus Ng.
Nigel menambah, kerjasama terbabit juga memastikan pengunjung mendapat nilai terbaik apabila menempah percutian atau pengembaraan seterusnya di MATTA Fair.
Sementara itu, Ketua Kewangan Pengguna RHB Bank, Sien Vee Loc memaklumkan, pihaknya memperkenalkan pelbagai promosi yang direka khas untuk pengembara Muslim, termasuk Kad Debit Visa Berbilang Mata Wang RHB/-i sebagai produk pilihan utama untuk pelancong antarabangsa.
Vee Loc memberitahu, kad ini membolehkan transaksi dalam 34 mata wang tanpa caj pertukaran serta boleh digunakan melalui Apple Pay, Samsung Pay dan Google Pay.
Ujarnya, terdapat pelbagai aktiviti, tawaran dan diskaun menarik untuk pengunjung, antaranya potongan RM200 untuk pakej pelancongan terpilih.
Menurutnya, antara kemudahan lain ditawarkan termasuk pelan pembayaran ansuran sifar peratus secara eksklusif untuk pemegang kad kredit visa RHB/ -i, serta perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) pertama di Malaysia yang dihubungkan kepada kad debit melalui RHB PayLater/-i.
Vee Loc turut menyatakan, pihaknya juga merancang lebih banyak kerjasama antara RHB dan pihak berkaitan pada masa akan datang untuk membawa pengalaman pelancongan eksklusif kepada orang ramai.
MATTA Fair 2025 yang berlangsung dari 18 hingga 20 April 2025 di MITEC Kuala Lumpur dibuka secara percuma dari jam 8 pagi hingga 10 malam bermula Jumaat hingga Ahad.
Pengunjung boleh mengunjungi reruai RHB di aras 1 Dewan Antarabangsa dan aras 1 Dewan Domestik MITEC sepanjang tiga hari pameran berlangsung.
Terdapat perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC, manakala kemudahan parkir pula tersedia di pintu masuk Selatan MITEC, parkir bawah tanah MITI dan parkir terbuka MATRADE.
Orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan terkini boleh melayari laman media sosial rasmi MATTA Fair di Facebook, TikTok, X serta Instagram (@mattafair.official) dan saluran Telegram (@MATTA_Fair).