Cemas, mesin kira duit di bank terbakar

Iklan
Sepasukan bomba dikejarkan ke sebuah bank di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras ,selepas mesin mengira wang terbakar pada Selasa. Foto: Bomba Selangor
CHERAS - Suasana tenang di sebuah bank di Bandar Tun Hussein Onn, di sini, bertukar cemas selepas mesin mengira wang terbakar dalam kejadian pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.54 pagi.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussien Onn telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan mesin mengira wang di ruangan kaunter berkeluasan 50x20 kaki persegi yang terjejas kira-kira 45 peratus," katanya pada Selasa.

Tambahnya, kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.

Jelasnya, operasi membabitkan lima keanggotaan itu berjaya mengawal insiden pada jam 9.15 pagi.