Belasungkawa Tun Abdullah Ahmad Badawi (1939–2025)
"Pemimpin bersuara lembut, berhati jernih”
Malaysia kehilangan seorang tokoh besar apabila bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi kembali ke rahmatullah jam 7.10 malam Isnin, pada usia 85 tahun.
Lebih dikenali sebagai Pak Lah, pemergiannya menutup satu bab dalam sejarah politik negara iaitu bab yang penuh dengan kelembutan, kesederhanaan dan kejujuran dalam kepimpinan.
Pak Lah dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau dibesarkan dalam keluarga ulama dan pendidik. Bapanya, Haji Ahmad Badawi, adalah tokoh agama yang dihormati dan pernah menjadi Ahli Parlimen.
Datuknya pula, Syeikh Abdullah Fahim, mufti pertama Pulau Pinang, adalah ulama besar yang turut memainkan peranan penting menentukan tarikh kemerdekaan negara.
Latar belakang ini membentuk acuan keperibadian Pak Lah sejak kecil—seorang anak yang sopan, tidak banyak ragam, dan sentiasa hormat kepada ilmu serta orang tua. Nilai inilah yang dibawanya hingga ke akhir hayat.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Di situlah bakat kepimpinan beliau mula diasah. Beliau kemudian menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam bidang pengajian Islam.
Sebelum menyertai politik, Pak Lah terlebih dahulu berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang mana satu kerjaya yang menuntut disiplin tinggi dan ketelitian. Pengalaman itu memperkukuhkan pemahaman beliau terhadap struktur pentadbiran negara.
Tahun 1978 menjadi detik penting apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas. Dari situ, kerjaya politiknya melonjak pantas. Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Luar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri.
Pada tahun 1999, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad bersara pada 2003, Pak Lah mengambil alih teraju negara sebagai Perdana Menteri kelima.
Semasa memegang tampuk pemerintahan, beliau membawa satu pendekatan yang bersih dan sederhana."Islam Hadhari” menjadi slogan rasmi pemerintahannya—sebuah kerangka pemikiran Islam yang moden, progresif dan inklusif.
Di bawah pentadbirannya juga, lahirlah gagasan"Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”—satu slogan yang mencerminkan aspirasi beliau untuk melihat Malaysia berkembang dalam semua aspek: dari pentadbiran berintegriti, pembangunan ekonomi yang seimbang, hingga pencapaian di peringkat antarabangsa.
Tampil dengan gaya kepimpinan berbeza, Pak Lah memimpin kerajaan dengan hemah dan hikmah. Beliau percaya kepada rundingan, perbincangan dan muafakat.
Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 menjadi saksi kepada kepercayaan besar rakyat terhadapnya. Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Pak Lah meraih majoriti dua pertiga yang amat selesa, sekali gus mengangkat imejnya di mata rakyat.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan inisiatif itu sebagai pahala jariah yang mengalir.
"Kalau mengajar satu ilmu memberikan pahala jariah, apatah lagi membina sistem pendidikan,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.
Pak Lah bukan sahaja mengangkat pendidikan Islam ke arus perdana, malah membuka ribuan peluang pekerjaan kepada graduan pengajian Islam dari dalam dan luar negara. Ramai guru J-QAF hari ini adalah hasil cetusan idea beliau.
Beliau juga banyak memberi ruang kepada golongan intelektual dan ulama menyumbang kepada dasar negara.
Ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau pernah menubuhkan Majlis Perundingan Hal Ehwal Islam, membuka ruang dialog antara pihak berautoriti dan masyarakat.
Sebagai pemimpin, Pak Lah dikenang oleh rakan-rakannya sebagai seorang yang berhati mulia, tidak menyimpan dendam, dan sedia mendengar. Dalam mesyuarat, beliau lebih banyak mendengar daripada bercakap. Kata-katanya ringkas, tetapi penuh makna.
Tan Sri Rais Yatim, yang pernah bekerja bersama beliau sejak era 1970-an, mengenangnya sebagai sahabat karib.
"Kita kehilangan pemimpin yang penuh hemah, sabar dan berwibawa tinggi,” katanya.
Pak Lah juga dikenang kerana cintanya terhadap kesusasteraan dan kerohanian.
Beliau sendiri menulis sajak"Ku Cari Damai Abadi” - sebuah puisi yang mencerminkan jiwanya yang halus dan pencariannya terhadap ketenangan hidup.
Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi
Puisi itu dibacakan ribuan kali dalam forum dan deklamasi puisi sepanjang 2000-an. Ia menjadi legasi peribadi seorang pemimpin yang tidak hanya bicara soal kuasa, tetapi juga soal jiwa dan nurani.
Sejak 2018, Pak Lah dilaporkan menghidap dementia dan tidak lagi muncul di khalayak. Kesihatannya kian merosot dan akhir-akhir ini mengalami masalah pernafasan. Namun, doa rakyat buatnya tidak pernah putus.
Beliau mengundurkan diri daripada jawatan Perdana Menteri secara terhormat pada 2009. Tiada drama, tiada kekecohan. Itulah Pak Lah—pemimpin yang reda, sabar, dan tahu bila tiba masanya untuk berundur.
Kini, negara kehilangan seorang negarawan yang lunak bahasanya tetapi tegas pendiriannya. Seorang yang dihormati kawan dan lawan. Seorang yang meninggalkan dunia dengan tenang, tetapi meninggalkan kesan yang abadi.
Al-Fatihah buat Tun Abdullah Ahmad Badawi. Moga ALLAH SWT mengampuni dosanya, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin.