JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang pengurus syarikat direman enam hari bagi membantu siasatan dakwaan kemukakan tuntutan palsu berkaitan bantuan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) RM110,000.
Menurut sumber, perintah reman terhadap lelaki berumur 34 tahun itu dibenarkan Majistret, Normadiana Mamat di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Iklan
Iklan
"Permohonan reman terhadap suspek yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) itu akan bermula hari ini hingga Ahad depan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009," katanya.
Sebelum ini, suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor di sini, kira-kira jam 8 malam pada Isnin.
Difahamkan, tangkapan dibuat ke atas suspek kerana mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu ke Jabatan Perikanan Negeri Johor.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
"Ia berkaitan kerja membekal, menghantar dan mentauliah peralatan sokongan kepada penerima bantuan PPSPA Bil.1/20223 Negeri Johor bernilai lebih RM110,000, sedangkan pembekalan tidak dilaksanakan dengan sempurna," ujarnya.