Aspek teknikal, sokongan selepas jualan masih lemah

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Daniel Fernandez)

SHAH ALAM – Aspek perkhidmatan selepas jualan dan sokongan teknikal masih merupakan kelemahan ketara bagi kebanyakan jenama motosikal buatan China di Malaysia.

Penganalisis automotif, Daniel Fernandez berkata, walaupun motosikal China semakin mendapat tempat dalam pasaran tempatan berikutan harga yang jauh lebih rendah dan kualiti yang semakin baik, sokongan selepas jualan masih jauh ketinggalan berbanding jenama-jenama Jepun dan Eropah.

Iklan
Iklan

"Pengedar dan pengimport motosikal China di Malaysia dilihat belum cukup agresif untuk memberikan tahap perkhidmatan pelanggan yang setanding dengan pesaing utama. Ini memberi kesan kepada keyakinan pembeli jangka panjang,” katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.

Menurut beliau, walaupun jenama seperti CF Moto, Benelli dan Zontes menunjukkan peningkatan dari segi rekaan, prestasi dan ketahanan, ia belum disokong sepenuhnya oleh infrastruktur khidmat pelanggan yang mantap.

Iklan

"Dalam tempoh empat hingga lima tahun kebelakangan ini, motosikal China telah meningkat dari segi teknologi dan ada yang menawarkan jaminan lebih panjang serta harga sekitar 35 hingga 40 peratus lebih murah berbanding motosikal Jepun.

"Namun, kualiti perkhidmatan selepas jualan masih belum menyamai apa yang ditawarkan jenama besar seperti Honda, Yamaha atau BMW,” katanya.

Iklan

Daniel turut menambah bahawa sebahagian pengeluar dari China kini mula menumpukan kepada segmen khusus seperti skuter elektrik dan motosikal off-road, sekali gus mula memberi tekanan kepada jenama Eropah seperti KTM, BMW dan Triumph.

Namun katanya, tanpa peningkatan dalam kecekapan selepas jualan, pengeluar dari China berisiko kehilangan kepercayaan pengguna walaupun harga dan teknologi ditawarkan semakin menarik.

Muka depan Sinar Harian pada Isnin menyiarkan isu tentang pasaran motosikal Malaysia semakin dipenuhi dengan kehadiran pelbagai model dari China

Peratusan komuniti rakyat Malaysia yang beralih kepada penggunaan motosikal jenama dari China kini semakin meluas dan bercambah di sebalik jenama Jepun yang mempunyai nilai jualan semula lebih tinggi serta kepercayaan pengguna terhadap jenama dari negara matahari terbit itu tersebut sudah lama bertapak.