PENAHANAN Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, bersama Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang, pada Isnin bukan sekadar berita panas politik. Ia lebih daripada itu – satu isyarat jelas bahawa tiada siapa, tidak kira kedudukan atau pengaruh, berada di atas undang-undang.
Tindakan ini membawa mesej penting kepada masyarakat dan ahli politik bahawa sistem perundangan negara berfungsi tanpa mengenal siapa yang terlibat, termasuk wakil rakyat atau mereka yang menyokong Kerajaan Madani.
Penahanan kedua-dua individu itu dilakukan atas dakwaan menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka semasa operasi penguatkuasaan kebun durian haram di Raub.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang menggariskan tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, penahanan dua individu terbabit adalah sebahagian daripada komitmen menjaga integriti dan kedaulatan undang-undang.
Penahanan mereka juga telah disahkan melalui kenyataan rasmi di laman Facebook Yu Hui, yang turut menyatakan bahawa pasukan guamannya akan terus memantau perkembangan kes tersebut.
Apa yang perlu diberi perhatian bukan hanya aspek undang-undang semata-mata, tetapi juga bagaimana insiden ini mencerminkan batas peranan seorang wakil rakyat.
Dalam demokrasi, adalah menjadi lumrah untuk wakil rakyat menyatakan solidariti terhadap pengundi.
Namun, apabila tindakan tersebut didakwa mengganggu pelaksanaan undang-undang, ia menimbulkan persoalan tentang sempadan antara sokongan politik dan campur tangan dalam operasi sah kerajaan.
Operasi khas yang dikenali sebagai Op Sekat 3.0 dijalankan oleh kerajaan negeri Pahang bagi mengekang aktiviti pencerobohan tanah dan pertanian haram, khususnya penanaman durian tanpa kelulusan di tanah kerajaan.
Sebanyak 22 laporan polis telah dibuat oleh orang awam dan badan bukan kerajaan yang menyokong usaha penguatkuasaan tersebut - satu isyarat jelas bahawa majoriti masyarakat mahu ketegasan dalam pengurusan tanah di Pahang.
Justeru, kes ini bukan hanya tentang durian atau tanah. Ia lebih besar daripada itu. Ia menjadi ukuran sejauh mana ahli politik bersedia tunduk kepada prinsip undang-undang yang sama seperti rakyat biasa.
Tambahan pula, dalam era pentadbiran Madani yang menjunjung integriti, ketelusan dan keadilan.
Tindakan terhadap mana-mana individu yang didakwa mengganggu proses penguatkuasaan harus dilihat sebagai satu manifestasi ketegasan institusi.