SHAH ALAM - Pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke rahmatullah malam tadi disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam kenyataan dikeluarkan sejurus selepas berita duka itu disahkan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, seluruh rakyat Malaysia berdukacita atas pemergian seorang tokoh yang telah mencurahkan bakti dengan penuh ketulusan dan kesederhanaan dalam kepimpinan.
"Allahyarham pastinya akan dikenang sebagai seorang negarawan berjiwa luhur, tenang dalam kepimpinan, dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.
Menurut beliau, sumbangan Tun Abdullah, khususnya dalam membentuk asas pentadbiran berteraskan integriti serta memperkenalkan prinsip Islam Hadhari, akan terus terpahat dalam sejarah dan memori negara.
Dr Ahmad Zahid turut meluahkan rasa peribadi yang amat terkesan dengan kehilangan Allahyarham, menyifatkan beliau bukan sekadar pemimpin negara, malah seorang mentor yang banyak memberi tunjuk ajar dalam perjalanan awal karier politiknya.
"Tun banyak membuka ruang, memberi peluang dan berkongsi nasihat yang tidak ternilai.
"Bimbingan dan kepercayaan yang beliau berikan menjadi antara asas penting yang membentuk diri dan arah langkah saya hingga ke hari ini,” ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah serta seluruh ahli keluarga, dan mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan dalam menghadapi waktu yang penuh hiba ini.
"Semoga ALLAH SWT menerima segala amal bakti Allahyarham dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga,” katanya.
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
Beliau pernah menerajui tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009, dan dikenang sebagai pemimpin berprofil sederhana yang menekankan prinsip ketelusan serta kesejahteraan rakyat dalam pentadbiran negara.