Segamat daerah terbaharu dilanda banjir di Johor

Iklan

KUALA LUMPUR - Segamat menjadi daerah terbaharu dinaiki bah di Johor manakala di Sabah jumlah mangsa banjir terus meningkat, setakat jam 4 petang ini.

Di JOHOR, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Segamat sekali gus menjadikan mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 195 orang daripada 60 keluarga sehingga 4 petang ini berbanding 148 mangsa daripada 48 keluarga pagi tadi.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata tiga PPS beroperasi iaitu satu di Batu Pahat dan dua lagi di Segamat yang dibuka pada 1 tengah hari tadi.

"Lapan sungai di negeri ini berada pada paras waspada iaitu Sungai Senggarang di Batu Pahat dengan bacaan 3.09 meter (m) dan Sungai Batu Pahat (2.30m).

Iklan

"Tiga lokasi sungai di Segamat ialah Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam (3.44m), di Buloh Kasap (8.51m) dan Kampung Awat (19.07m),” katanya dalam kenyataan.

Lokasi lain melibatkan Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai dalam daerah Pontian (1.88m), Sungai Belemang Besar di Simpang 5 Darat, Tangkak (4.08m) serta Sungai Endau di Kampung Labong, Mersing (1.01m).

Iklan

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 890 orang daripada 259 keluarga petang ini dan semuanya ditempatkan di 10 PPS, berbanding 875 orang daripada 254 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, Nabawan mencatat mangsa tertinggi dengan 467 orang daripada 119 keluarga ditempatkan di enam PPS, diikuti Sook (239 mangsa, 79 keluarga, dua PPS), Beaufort (108 mangsa, 40 keluarga, satu PPS) dan Keningau (76 mangsa, 21 keluarga, satu PPS).

"Sebanyak 40 kampung terjejas akibat banjir dengan 30 kampung di Nabawan, enam kampung di Beaufort dan masing-masing dua kampung di Sook dan Keningau,” menurut kenyataan itu. - Bernama