[VIDEO] Enam individu ditahan, dadah lebih RM350,000 dirampas

Iklan

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket pengedaran dadah menjadikan dua kondominium yang berfungsi sebagai inap desa sebagai stor simpanan pelbagai jenis dadah terbongkar selepas diserbu polis di Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Tun Razak, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, enam individu diberkas dalam serbuan berasingan yang dilakukan di Wangsa Maju, Sentul dan Cheras antara jam 3.40 petang hingga 7.15 malam.

Iklan
Iklan

"Kita menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga Thailand berusia antara 26 hingga 53 tahun, yang dipercayai bertindak sebagai pengedar dadah dan penjaga stor.

"Siasatan mendapati sindiket tersebut menyewa inap desa itu dengan bayaran RM200 sehari. Dadah yang disimpan akan dibungkus semula sebelum dijual pada harga antara RM300 hingga RM400 bagi setiap gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, pada Isnin.

Iklan
Mohamad Lazim (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.

Menurut beliau, hasil serbuan itu, polis merampas dadah jenis methamphetamine, ganja, kokain dan pil Erimin 5 dengan anggaran berat keseluruhan 2,032.06 gram, bernilai RM354,395.

"Hasil ujian air kencing awal mendapati semua suspek positif dadah, manakala semakan lanjut menunjukkan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Iklan

"Kesemua suspek kini direman antara empat hingga tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohamad Lazim turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah untuk menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9281 0715, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berdekatan.