Nazri cuba jadi wira baharu kerajaan Perpaduan - Zaid

Iklan
Zaid Ibrahim.

SHAH ALAM - Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz didakwa cuba menjadi wira baharu kerajaan Perpaduan susulan tindakannya yang mengkritik Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, kenyataan yang dibuat Tengku Maimun mengenai kelemahan dalam proses pelantikan hakim ketika ini tidak seharusnya dipersoalkan.

Iklan
Iklan

"Mohamed Nazri marah dengan kenyataan Ketua Hakim Negara yang menyatakan bahawa proses pelantikan hakim pada masa ini berpotensi terdedah kepada pengaruh politik.

"Sudah tentu Tengku Maimun 100 peratus betul. Untuk mengatakan bahawa beliau tidak layak bersuara hanya kerana turut dilantik melalui sistem sedia ada adalah satu pandangan yang kebudak-budakan,” katanya menerusi hantaran di X pada Isnin.

Iklan

Tengku Maimun ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini dilapor menggesa agar Perdana Menteri tidak lagi berperanan dalam pelantikan kehakiman.

Beliau berkata, ini akan mengukuhkan kesaksamaan proses dan memastikan pelantikan adalah berdasarkan merit serta bebas daripada pengaruh politik.

Iklan

Susulan itu, Mohamed Nazri membuat kenyataan balas dengan menyatakan bahawa Tengku Maimun sendiri merupakan hasil daripada sistem pelantikan sedia ada dan tidak sewajarnya mempertikaikannya.

Sementara itu, Zaid turut menyarankan agar bekas Ahli Parlimen Padang Rengas tersebut meneliti semula peruntukan Jawatankuasa Pemilihan Hakim (JAC) yang membenarkan Perdana Menteri menolak nama-nama calon yang dicadangkan oleh jawatankuasa tersebut tanpa had.

"Ini membuka ruang yang sangat luas kepada Perdana Menteri untuk akhirnya melantik sesiapa sahaja mengikut kehendaknya.

"Jika itulah yang kerajaan mahu lebih baik bubarkan sahaja JAC,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan tidak sepatutnya terus berpura-pura menyokong badan kehakiman yang bebas jika tidak mampu menerima teguran jujur daripada tokoh seperti Tengku Maimun.