SHAH ALAM - Malaysia menzahirkan kerisauan terhadap kemungkinan sekatan eksport barangan perubatan ke negara ini susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import tinggi terhadap produk dari Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau baru sahaja menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri kanan bagi membincangkan kesan tindakan dikenali sebagai 'respons Presiden Trump' itu.
"Saya harus katakan, kita benar-benar marah. Sekatan eksport melibatkan ubat-ubatan bernilai AS$36 bilion adalah langkah yang menekan negara-negara sedang membangun seperti kita.
"Walaupun peranti perubatan dikecualikan, namun yang menjadi masalah besar ialah ketidaktentuan dalam rundingan harga," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka dan Pembukaan Cawangan Baharu Hospital KPJ Kuala Selangor di sini pada Isnin.
Dr Dzulkefly menjelaskan, tindakan itu merupakan ancaman besar terhadap sistem perdagangan dan pelaburan global yang seharusnya bersifat adil serta berkecuali.
Menurut Dr Dzulkefly, hal itu juga sedang dikendalikan oleh Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) Kebangsaan dan sebarang rundingan lanjut akan ditentukan oleh kementerian berkaitan.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, pihaknya terus berpandukan arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan dalam menangani isu tersebut.
"Kami fokus kepada penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare) yang menitikberatkan hasil rawatan, keselamatan dan kualiti klinikal pesakit.
"Buat masa ini, kos operasi kami masih terkawal dan turut terlibat secara aktif dalam sesi libat urus bersama pengeluar ubat tempatan, pengimport peranti perubatan dan syarikat farmaseutikal dari Amerika," tambah beliau.