Jangan cemari dikir barat dengan lirik lucah

Iklan
Kerajaan Kelantan menegaskan dikir barat perlu dipelihara keasliannya tanpa lirik lucah atau tarian mencolok, untuk memastikan generasi akan datang mewarisi tradisi yang bersih dan bermaruah. Gambar kecil: Mohamed Fadzli. Gambar hiasan

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa lirik berunsur lucah dan tarian yang mencolok mata tidak seharusnya dipersembahkan dalam dikir barat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, seni warisan tersebut perlu dipelihara keasliannya untuk memastikan generasi akan datang mewarisi tradisi yang bersih dan bermaruah.

Iklan
Iklan

Beliau mengingatkan para penggiat seni agar memainkan peranan dalam memastikan persembahan dikir barat tidak lari daripada tujuan asalnya.

"Kita tidak mahu suatu hari nanti, apabila generasi akan datang mewarisi dikir barat, mereka melihatnya sebagai sesuatu yang sarat dengan kata-kata celupar, lucah dan tarian yang tidak sepatutnya. Sedangkan asalnya, dikir barat adalah seni yang indah dan digunakan untuk membentuk sahsiah serta menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Seminar Kebudayaan Islam 2025 di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa, di sini, pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, budaya dikir barat adalah milik eksklusif rakyat Kelantan dan sehingga kini tiada negeri lain yang mampu mengaku sebagai pemiliknya.

Katanya, keistimewaan ini menjadikan dikir barat sebagai satu bentuk identiti yang perlu dibanggakan dan dipelihara.

Iklan

"Kalau kita sebut nasi dagang, songket atau batik, banyak negeri lain akan mengaku itu milik mereka juga. Tapi kalau sebut dikir barat, semua akan tahu itu adalah warisan Kelantan. Jadi, kita kena jaga kemurnian ini,” katanya.

Mohamed Fadzli turut meluahkan kebimbangan terhadap pengaruh luar yang mungkin mempengaruhi persembahan dikir barat, terutama jika tidak dikawal.

Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk memelihara seni budaya, termasuk melalui penguatkuasaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

"Melalui enakmen ini, ada garis panduan yang jelas termasuk larangan persembahan artis wanita di khalayak ramai kecuali kanak-kanak perempuan bawah umur 12 tahun. Ia bukan bentuk diskriminasi, tetapi usaha untuk memelihara maruah dan adat dalam kerangka Islam,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang menilai semula enakmen tersebut agar lebih relevan dengan perkembangan semasa.

Katanya, pelaksanaan undang-undang yang baik perlu disusuli dengan penguatkuasaan yang tegas dan menyeluruh di semua peringkat.

"Kita berharap pihak berkuasa tempatan turut peka dan tidak membiarkan program hiburan berlangsung tanpa menepati syarat yang telah ditetapkan. Ini penting supaya segala bentuk hiburan tidak menyimpang daripada nilai Islam dan tidak menjurus kepada kelalaian serta maksiat,” katanya.