CAP desak tindakan segera atasi pencemaran Sungai Juru

Iklan
Sampah sarap dan sisa buangan plastik yang mencemarkan Sungai Juru selain rumpai hanyut yang terapung di permukaan sungai.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan segera daripada kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani pencemaran serius yang melanda Sungai Juru di Seberang Perai Tengah (SPT).

Presiden CAP, Mohideen Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati pencemaran berpunca daripada rumpai hanyut dan sisa plastik dari Sungai Rambai yang mengalir masuk ke Sungai Juru sebelum mencemarkan kawasan pesisir laut berhampiran.

Iklan
Iklan

"Pencemaran ini menjejaskan aktiviti harian nelayan dan penternak kerang di Kampung Kuala Juru. Kami kesal dengan situasi ini dan bimbang nasib golongan terlibat akan lebih parah jika tiada tindakan diambil,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohideen menegaskan bahawa pemantauan berterusan dan tindakan undang-undang tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Iklan

"Kerajaan juga perlu menyalurkan bantuan atau pampasan kepada nelayan serta penternak kerang yang terjejas akibat kemerosotan pendapatan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Nelayan Kampung Kuala Juru, Wahid Othman, 57, berkata masalah pencemaran ini sudah berlarutan sejak lima tahun lalu dan pelbagai aduan telah dibuat, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan.

Iklan

"Pukat kami sering rosak dirempuh rumpai dan sampah. Malah, pertumbuhan kerang juga terbantut, sekali gus menjejaskan pendapatan penternak,” katanya.

Bagi penternak kerang, Helmi Ibrahim, 45, situasi menjadi semakin membimbangkan kerana pencemaran yang berterusan boleh menyebabkan kematian kerang jika sisa plastik dan rumpai terus mendap di kawasan ternakan.

Sinar Harian difahamkan, maklum balas daripada pihak MBSP dan JAS Pulau Pinang sedang diperoleh untuk mendapatkan penjelasan lanjut.