SEPANG – Cubaan menyeludup 210 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM20.57 juta ke Eropah digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas satu serbuan dilakukan di Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Mac lalu.
Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan terbesar setakat tahun ini di KLIA itu hasil maklumat risikan dan pemantauan rapi pihak kastam.
Menurutnya, ganja berkenaan dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Tenggara dan menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit sebelum dihantar ke Eropah.
"Dadah ini disorok dalam bungkusan produk makanan ringan serta makanan haiwan seperti anjing dan kucing, bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo Unit III, Zon Tengah, hari ini.
Katanya, barangan itu diikrar sebagai makanan haiwan, makanan ringan, pakaian lusuh dan kasut terpakai, namun siasatan mendapati hanya sebahagian diisytiharkan dengan betul.
"Modus operandi menyembunyikan dadah dalam bungkusan makanan haiwan pernah dikesan sebelum ini, namun kali ini melibatkan jumlah yang sangat besar,” katanya.
Tambahnya, nilai pasaran bagi bunga ganja lebih mahal, iaitu kira-kira RM98,000 bagi setiap 1kg, berbanding ganja biasa yang dianggarkan RM3,200/kg.
Susulan rampasan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
JKDM turut menyeru orang ramai agar bekerjasama dalam memerangi aktiviti penyeludupan, khususnya melibatkan dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan barangan larangan lain.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau ke pejabat kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat dijamin rahsia,” katanya.