Grid Kuasa ASEAN perkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan serantau

Iklan
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Projek Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid - APG) bakal menjadi pemacu utama dalam memperkukuh integrasi ekonomi dan perdagangan serantau, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, inisiatif mega ini akan dimulakan dengan projek kabel dasar laut menghubungkan Vietnam ke Kota Bharu, Kelantan, sebelum disambung ke grid Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura.

Iklan
Iklan

"Kita juga sedang berunding untuk sambungan dari Semenanjung ke Batam (Indonesia), serta dari Sarawak ke Tanjung Sedeli dan Singapura. Dari Sarawak ke Sabah dan ke selatan Filipina. Jika ini direalisasikan, kita akan miliki rangkaian tenaga yang merangkumi hampir seluruh ASEAN,” katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Tambah beliau, walaupun kos pelaksanaan APG mencecah puluhan bilion dolar, ia sejajar dengan dasar peralihan tenaga bersih dan mampu menjadi pemangkin utama pelaburan asing ke rantau ini.

Iklan

"Inisiatif ini bukan sekadar infrastruktur tenaga, tetapi lambang kekuatan kerjasama ASEAN yang mampu menarik minat pelabur global,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyentuh keperluan pembaharuan sistem kastam dan logistik bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan antara negara jiran seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Iklan

"Isunya bukan sekadar penyeludupan, tetapi soal bagaimana kita boleh permudah urusan rentas sempadan agar perdagangan intra-ASEAN lebih cekap dan sah,” ujarnya.

Dalam konteks pelancongan pula, beliau menyarankan supaya sektor tersebut dimajukan secara kolektif, dengan memanfaatkan kekuatan unik setiap negara anggota.

"Kita ada pantai, gunung, hutan, makanan – termasuk durian. Semua ini boleh dijadikan tarikan pelancongan bersama jika ada kerjasama lebih tersusun,” katanya sambil tersenyum.

Kesalinghubungan sistem pembayaran rentas sempadan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga, katanya, perlu dipertingkat bagi mengurangkan jurang digital antara negara anggota.

"Usaha sedang digerakkan melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk pastikan akses teknologi digital dan AI sampai ke kawasan luar bandar dan pedalaman,” tambah beliau.

Anwar turut menekankan bahawa pembangunan ASEAN tidak boleh tertumpu kepada negara-negara maju sahaja, sebaliknya perlu bersifat inklusif dan seimbang.

"Laos, Kemboja dan kawasan lain masih ketinggalan. Kalau kita tak bantu angkat mereka, akhirnya ia jadi beban kepada jiran. Kita mesti bangunkan ASEAN sebagai satu entiti bersama,” tegasnya.