MERAK Jalanan pun terkejut tengok harga emas sekarang. Makin mencanak-canak naik. Masih terkenang-kenang ketika Merak Jalanan berjinak-jinak dengan emas.
Waktu itu RM140 lebih segram, hari ni sudah menghampiri RM500. Yang kaki simpan emas pun tak sempat tarik nafas, harga dah naik lagi.
Dulu orang beli emas buat hantaran. Sekarang? Dah jadi macam beli saham. Hari-hari buka aplikasi, tengok harga naik turun emas.
Ikut kata orang ekonomi, emas tengah naik sebab banyak benda tak menentu. Polisi Trump yang menggila, inflasi, konflik sana sini menyebabkan orang cari tempat ‘selamat’ — maka emas pun jadi rebutan. Logik la. Emas tak boleh cetak macam duit kertas.
Sekarang ni, semua tanya:"Berapa harga emas boleh pergi?” Ada kata boleh sampai RM700 segram. Merak Jalanan senyum je. Bila harga naik, semua nampak bintang. Tapi jangan lupa, langit pun kadang-kadang gelap.
Tak salah nak beli emas sekarang, tapi belilah ikut kemampuan. Tak perlu beli sekilo terus. Mula sikit-sikit — 1 gram sebulan pun dah cukup.
Jangan tunggu masa paling sesuai, sebab kadang masa tu tak pernah datang. Yang penting, konsisten dan simpan untuk jangka panjang.
Emas bukan jalan pintas untuk kaya, tapi ia boleh jadi penyelamat waktu susah.
Jauhkan diri daripada skim ponzi emas. Dah ramai yang kena sebab percaya dengan janji manis, siap kata tak payah simpan emas pun,"kami uruskan untuk anda!” kata scammer, letak duit dan tunggu untung saja.
Kalau betul semudah tu, tauke emas pun tak buka kedai dah — semua duduk rumah kira dividen.
Ingat, emas boleh berkilau... tapi kilauan palsu menyebabkan lebih ramai orang terduduk menangis di bucu katil.