SUBANG JAYA - Ops Mega Pembersihan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights baru-baru ini memasuki hari kedua operasi melibatkan tiga sektor utama iaitu A, B dan C.
Difahamkan, sektor A dan B membabitkan kawasan Taman Putra Harmoni, manakala sektor C pula ialah Kampung Kuala Sungai Baru yang mana setiap zon dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) berbeza.
Antara PBT terlibat ialah Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Selain itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) turut terlibat.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kebakaran berkenaan mendapati bahawa kerja gotong-royong itu bermula sekitar jam 10 pagi dengan jentera pembersihan mula memasuki kawasan tersebut.
Operasi itu tertumpu pada pembersihan longkang, bahu jalan dan jalan utama, lorong belakang, kawasan parkir rumah, pemotongan pokok terbakar atau mati, membantu penduduk mengangkat barangan rosak serta mencuci tembok atau dinding rumah yang terkena percikan tanah akibat insiden.
Sebelum ini dilaporkan, Ops Mega Pembersihan bermula selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad melibatkan lebih 4,000 sukarelawan daripada 20 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Kekuatan sebanyak 264 unit kenderaan dan jentera yang digunakan dalam seperti lori ‘water jetter’, lori tangki air, lori roll-on roll off (RORO), mesin pencincang kayu, serta ‘skylift’.
Setakat ini, 307 kediaman telah dibenarkan untuk didiami semula dan dijangka lebih banyak rumah dapat didudiki dalam masa terdekat selepas proses pembersihan itu selesai dijalankan.