SHAH ALAM - Terdapat keperluan untuk menilai semula kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selaras dengan kenaikan kos sara hidup semasa yang memberi kesan kepada kehidupan seharian mahasiswa.
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berkata, penambahbaikan kadar pinjaman itu bukan sahaja membantu mahasiswa menjalani kehidupan kampus dengan lebih sejahtera, malah memberi ruang kepada mereka untuk menumpukan perhatian kepada pengajian tanpa bebanan kewangan.
"Kami menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengkaji semula kadar pinjaman serta terma bayaran balik PTPTN yang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan mahasiswa.
"Perkara ini juga menunjukkan komitmen dalam memastikan pendidikan tinggi kekal sebagai satu ruang inklusif dan boleh diakses oleh semua golongan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengkaji semula kadar pinjaman dan terma pembayaran balik hutang PTPTN bagi membantu peminjam dengan lebih baik di samping menangani isu hutang tertunggak yang tinggi.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu dibuat berikutan hutang tertunggak PTPTN hampir mencecah RM40 bilion setakat ini.
MPPK turut memberi sokongan penuh terhadap sebarang cadangan kajian semula terma pembayaran balik PTPTN yang dilihat akan memberi manfaat jangka panjang kepada para graduan.
"Kami percaya bahawa pengenalan terma pembayaran lebih fleksibel dan bersifat progresif akan memberi manfaat jangka panjang kepada para graduan serta meningkatkan kadar pembayaran balik secara berperingkat.
"Usaha PTPTN untuk terus membuka ruang perbincangan serta menyediakan pelbagai saluran bayaran yang tidak membebankan wajar dipuji.
"Kami juga mengiktiraf usaha berterusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan institusi pengajian tinggi dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti Program Sulung, biasiswa, dermasiswa dan bantuan khas pelajar.
"Langkah ini jelas membuktikan kesungguhan kementerian untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam pengajian akibat kekangan kewangan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, MPPK turut menyeru mana-mana pelajar yang sedang berdepan dengan situasi kewangan yang mendesak agar tampil memaklumkan kepada pihak MPPK atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi masing-masing.