'Abang pesan keluar duit di akaun bank sebelum maut ditanduk kerbau'

Iklan
Seorang buruh ladang meninggal dunia dipercayai ditanduk kerbau. Gambar hiasan

KEMAMAN - Seorang buruh ladang sawit sempat berpesan kepada adiknya supaya mengeluarkan wang dalam akaun bank miliknya jika dia meninggal dunia.

Adik mangsa, Noramidah Mohamad, 40, berkata, perlakuan aneh abangnya, Md Fandi Mohamad, 43, disedari beberapa hari sebelum ditemukan meninggal dunia, dipercayai akibat ditanduk kerbau peliharaan di Kampung Tebak, di sini, pada Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, arwah ditemui terbaring tidak bernyawa oleh penduduk kampung kira-kira jam 3 petang dengan kesan kecederaan pada bahagian dada dan paha.

"Beberapa hari sebelum kejadian, arwah ada serahkan nombor pin akaun bank kepada adik kami yang tinggal di Chukai, di sini. Arwah kata, kalau dia mati, keluarkan semua duit dalam akaun.

Iklan

Menurut Noramidah, abangnya yang belum berkahwin keluar rumah kira-kira jam 8 pagi pada Khamis lalu untuk menangkap seekor kerbau miliknya yang ingin dijual.

Bagaimanapun, katanya, arwah disedari tidak pulang ke rumah sehingga tengah malam.

Iklan

"Kami cari sejak malam Khamis tapi tak jumpa, keesokan harinya (Jumaat) mayat abang ditemui oleh penduduk berhampiran sungai di kawasan ragut,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berjaya menangkap kerbau berkenaan namun tali pengikat haiwan itu terputus menyebabkan ia bertindak menyerang dan menanduknya sebelum melarikan diri.

Noramidah memberitahu, selain pesanan berkaitan akaun bank, arwah juga pernah menyebut telah menamakan salah seorang adik lelaki mereka sebagai penama wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kami semua ada sembilan beradik. Saya bersama abang serta seorang lagi adik kami tinggal bersama selepas pemergian arwah ibu dua tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.