Tentera tak terlibat operasi penguatkuasaan kebun durian haram - Polis

Iklan
ATM tidak terlibat dalam operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub. (Gambar kecil: Yahaya)

KUANTAN - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak terlibat dalam operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub seperti yang tular di media sosial sejak Jumaat.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, setakat ini tiada pergerakan mahupun arahan daripada kerajaan negeri mengenai penglibatan tentera dalam operasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mengenai operasi itu, pihaknya telah menerima tiga laporan dibuat oleh pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), polis dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang penjawat awam melaksanakan tugas,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, tular video berdurasi lebih 25 saat yang memaparkan pergerakan beberapa kenderaan tentera di satu kawasan, yang didakwa bagi membantu operasi terbabit.

Media melaporkan, pekebun didakwa telah bertindak menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati, kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.

Iklan

Kerajaan Pahang sebelum ini juga menafikan telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lepas. - Bernama