Dari kapal dagang ke kapal peronda

Iklan
Setiap anggota perlu bersiap sedia menghadapi situasi tidak menentu termasuk cuaca buruk, ombak besar dan keadaan laut yang mencabar.

PELABUHAN KLANG - Meninggalkan kerjaya di sektor swasta dengan gaji ribuan ringgit setiap bulan bukan keputusan mudah, namun bagi Leftenan Komander Muhammad Rasul Abu Bakar, 40, semangat cintakan negara mengatasi segala-galanya.

Demi menyumbang khidmat bakti kepada tanah air, beliau nekad menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada tahun 2010.

Iklan
Iklan

"Saya pernah bekerja selama tiga tahun dalam industri kapal dagang dengan gaji yang sangat selesa sehingga mencecah belasan ribu ringgit.

"Tetapi, bila saya lihat Maritim Malaysia ada buka tawaran bagi mengisi kekosongan jawatan, saya tak ragu-ragu memohon kerana bagi saya, ia adalah satu panggilan untuk berkhidmat kepada negara tercinta,” katanya yang kini merupakan Pegawai Pemerintah Kapal Maritim (KM) Danga, kapal peronda yang beroperasi di perairan Selangor.

Iklan

Jelasnya, keputusan itu menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya, daripada pekerja swasta kepada salah seorang barisan hadapan benteng pertahanan negara.

Sepanjang 15 tahun berkhidmat, Muhammad Rasul telah ditugaskan di enam lokasi berlainan termasuk Laut China Selatan, Laut Sulu dan Selat Melaka.

Muhammad Rasul yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang pengurusan maritim melihat peluang tersebut sebagai satu tanggungjawab besar.

Iklan

"Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa terpanggil mahu berbakti kepada negara.

"Memiliki pengalaman dalam kerjaya sebelum ini membantu saya memahami industri maritim secara menyeluruh.

"Segala ilmu yang saya peroleh itu dapat saya manfaatkan untuk penugasan bersama Maritim Malaysia demi menjaga keselamatan perairan negara kita,” katanya.

Menurutnya, keputusan beralih kerjaya mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama isteri tercinta.

"Pengorbanan tersebut bukan sekadar soal gaji atau status tetapi lebih kepada semangat patriotisme yang mengalir dalam diri,” katanya.

Sepanjang 15 tahun berkhidmat, Muhammad Rasul telah ditugaskan di enam lokasi berlainan termasuk Laut China Selatan, Laut Sulu dan Selat Melaka.

Beliau memberitahu, setiap kawasan membawa cabaran tersendiri khususnya dalam menangani jenayah maritim.

"Selat Melaka antara laluan paling mencabar kerana ia bukan sahaja laluan perkapalan antarabangsa yang sibuk, tetapi juga antara lokasi panas melibatkan kegiatan penyeludupan,” katanya.

Insiden cemas

Muhammad Rasul berkongsi insiden cemas yang masih segar dalam ingatannya ketika pasukannya menjalankan operasi penguatkuasaan di perairan berdekatan Melaka sekitar 2016.

"Ketika itu kami mengesan sebuah bot mencurigakan dipercayai datang dari Indonesia. Apabila dihampiri untuk pemeriksaan, kru bot tersebut bertindak agresif.

"Mereka nekad merempuh bot kami dalam usaha melepaskan diri daripada ditahan,” katanya.

Ketahanan fizikal dan ketajaman mental, kunci utama bagi memastikan setiap tugasan dilaksanakan dengan berkesan dalam menjaga perairan negara.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan pantas pasukan Maritim Malaysia berjaya mengelak daripada perlanggaran dan memastikan keselamatan anggota terjaga.

Katanya, pengalaman berdepan ancaman seumpama itu adalah perkara biasa dan menjadi sebahagian daripada cabaran perlu dihadapi.

Selain itu, ujar beliau, mereka juga turut berdepan situasi dibaling objek atau bahan berbahaya, bertujuan mencederakan anggota penguat kuasa.

"Pada 2015, ketika operasi di Kuala Sepang, Selangor, ada juga kes bot kami dilempar bom molotov oleh suspek.

"Berdepan cabaran fizikal dan mental di lautan sememangnya menuntut kecekapan serta keberanian setiap anggota bagi memastikan undang-undang maritim dipatuhi,” katanya.

Menurut Muhammad Rasul, setiap anggota juga perlu bersiap sedia menghadapi situasi tidak menentu termasuk cuaca buruk, ombak besar dan keadaan laut yang mencabar.

"Selain cekap dalam aspek teknikal, mereka juga perlu pantas dalam membuat keputusan ketika berdepan ancaman atau situasi berbahaya,” katanya.

Jelas beliau, tugas mengawasi perairan bukan hanya bergantung kepada Maritim Malaysia semata-mata, sebaliknya masyarakat juga perlu sama lebih peka terhadap isu keselamatan maritim dengan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika melihat atau mengetahui ada aktiviti mencurigakan.

Sementara itu, di sebalik tugas berat sebagai Pegawai Pemerintah, Muhammad Rasul tetap berusaha mengimbangi masanya bersama keluarga kerana baginya, keluarga adalah sumber kekuatannya.

"Saya mempunyai dua anak. Anak pertama ialah anak saudara yang saya jaga sejak kecil.

"Anak kedua pula anak kandung saya. Mereka pendorong utama saya untuk terus berkhidmat,” jelasnya.