SHAH ALAM - Mana-mana rumah ibadat tidak sah yang didakwa didirikan melebihi usia 100 tahun dan sebagainya perlu dibuktikan menerusi bahan dokumentasi sah dan bukan sekadar berlandaskan dakwaan semata-mata.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata, bukti pemilikan atau hak ke atas tanah juga perlu dikemukakan oleh pihak yang mendakwa, terutamanya apabila melibatkan isu pencerobohan tanah kerajaan.
Menurutnya, tempoh pendudukan sesuatu struktur bukan asas yang cukup untuk menentukan hak milik tanah.
"Pihak kuil contohnya perlu membuktikan mereka mempunyai hak dan pemilikan ke atas tanah kuil tersebut.
"Tempoh berapa lama telah diduduki bukan hujah pemilikan sebagaimana telah terbukti di dalam kes penghakiman Sekolah Sacred Heart Convent di Melaka, di mana kerajaan Melaka telah berjaya mengetepikan tuntutan dan mendapatkan hak milik tanah tersebut.
"Jadi, semua pihak perlu berhenti menceroboh tanah bukan milik mereka dan membina apa-apa binaan di atasnya bagi mengelakkan masalah seperti ini berulang,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau mengulas isu pencerobohan termasuk tanah yang diwartakan sebagai tapak masjid di Dengkil, Selangor.
Isu tersebut bagaimanapun selesai secara aman apabila pihak yang membina rumah ibadat secara tidak sah di situ menyatakan kesediaan untuk berundur dan mengosongkan kawasan terbabit.
Tindakan itu susulan lawatan pihak berkuasa termasuk Pejabat Tanah dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada pagi Khamis ke lokasi berkenaan.
Turut serta dalam kunjungan tersebut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said, yang mengesahkan status tanah berkenaan kekal sebagai milik JAIS untuk pembinaan masjid.
Sebelum ini portal berita luar negara melaporkan lebih 2,000 kuil Hindu di Malaysia berdepan ancaman perobohan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hak milik tanah rumah ibadat tersebut yang kebanyakannya dibina sejak era penjajahan British.
Portal berkenaan turut melaporkan wujud dakwaan bahawa sentimen kebencian terhadap masyarakat Hindu tersebar di media sosial, susulan kontroversi melibatkan cadangan pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia 130 tahun di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.
Isu itu akhirnya selesai pada 25 Mac lalu apabila pihak pengurusan kuil berkenaan bersetuju untuk rumah ibadat berkenaan dipindahkan ke lokasi baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, hasil rundingan antara pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil, kerajaan telah mengenal pasti tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal bagi tujuan penempatan semula kuil berkenaan.
Dalam pada itu, Firdaus Wong berkata, badan agama juga perlu lebih proaktif dalam menasihati penganut masing-masing agar tidak menceroboh tanah untuk membina rumah ibadat.
"Mana-mana penceroboh tanah perlu segera berpindah tanpa sebarang tuntutan, malahan mereka perlu dikenakan tindakan tegas menerusi hukuman dan denda yang sesuai dengan nilai berdasarkan tempoh tanah diduduki secara haram.
"Semua pihak jangan menangguk di air yang keruh. Isu pelanggaran undang-undang mestilah diselesaikan dengan cara undang-undang bukannya dengan memainkan sentimen agama dan kaum,” ujarnya.
Mengulas berkenaan dakwaan golongan radikal di Malaysia telah menyebarkan kebencian terhadap penganut Hindu di media sosial, beliau menambah, tiada pihak yang menyebarkan kebencian terhadap golongan Hindu atau mana-mana penganut agama di Malaysia seperti yang didakwa.