TAPAH - Coffee Trails of Perak yang mula diperkenalkan tahun lalu menjadikan Perak berada di landasan tepat untuk bergerak ke hadapan dalam membangunkan industri pelancongan tempatan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program yang menghimpunkan lebih 80 pengusaha kopi tempatan itu berjaya menjenamakan pelancongan negeri dari sudut yang lebih santai dan mesra belia.
Menurutnya, ia turut menyumbang kepada ekosistem perniagaan berasaskan kopi yang kian berkembang dan mendapat perhatian dalam kalangan pelancong serta pencinta kopi tanah air.
"Budaya 'ngopi' kini bukan sahaja menjadi satu trend dalam kalangan anak muda, turut menjadi sebahagian daripada gaya hidup kontemporari.
"Dengan slogan ringkasnya, 'Nak ngopi? Jom ke Perak!' kesemua mereka ini tampil dengan keunikan rasa, konsep dan lokasi berbeza sekali gus menawarkan satu pengalaman pelancongan yang istimewa untuk peminat kopi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Digital Perak: Pelancongan Pintar dan Majlis Penyerahan Bahan Promosi Pakej Coffee Trails of Perak di Dataran Tasik Temoh di sini pada Jumaat.
Penyerahan Bahan Promosi Pakej Coffee Trails of Perak ini merupakan rentetan kepada pelancaran logo rasminya pada malam 31 Disember 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2025.
Pakej tersebut diilhamkan Tourism Perak dengan kerjasama 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Dalam majlis itu, Saarani turut mengumumkan tambahan peruntukan RM150,000 menjadi keseluruhan RM300,000 bagi kerja-kerja naik taraf kemudahan awam di Taman Tasik Temoh.
Katanya, kelulusan itu selari dengan maklum balas masyarakat setempat dan peningkatan jumlah pengunjung yang menjadikan kawasan rekreasi itu berpotensi besar sebagai destinasi eko-pelancongan di daerah Batang Padang.
"Peruntukan ini meliputi pembinaan gazebo, penyediaan kawasan refleksologi dan pemasangan penghadang tangan.
"Insya-ALLAH prasarana baharu ini akan mendorong penganjuran pelbagai program pelancongan dan sukan," katanya.