Dakwaan dera: Pusat jagaan di Cheras diarah tutup serta-merta

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan anak yatim dipercayai dikurung di sebuah pusat jagaan di Cheras.

SHAH ALAM - Sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Cheras, Selangor diarah tutup serta-merta susulan dakwaan berlaku penderaan terhadap penghuninya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mengejut dilakukan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat bersama polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Iklan
Iklan

Menurut KPWKM, hasil pemeriksaan, dua penjaga pusat jagaan tersebut dipanggil ke IPD Kajang untuk memberi keterangan lanjut.

"Kesemua 18 kanak-kanak yang berada di pusat jagaan berkenaan termasuk 12 kanak-kanak lelaki dan enam perempuan telah diselamatkan serta dibawa ke Hospital Kajang bagi pemeriksaan kesihatan.

Iklan

"Mereka kemudian dibawa ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat untuk proses saringan awal,” kata KPWKM pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri warga emas yang juga pemilik serta penjaga sebuah rumah perlindungan kanak-kanak persendirian di Batu 9, Cheras ditahan kerana disyaki mendera penghuni premis itu.

Iklan

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pasangan berusia 66 dan 68 tahun itu kini direman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Katanya, mereka ditahan selepas polis menerima satu laporan pada jam 10.08 malam, 1 April lalu daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mendakwa didera dengan cara dimarahi serta ditampar pada pipi kiri oleh pemilik dan penjaga premis tersebut.

Sementara itu, KPWKM memaklumkan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan kanak-kanak yang terlibat.

"Orang awam yang mengetahui sebarang kes penderaan diminta tampil membuat laporan melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999, atau hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat," ujarnya.