SEREMBAN - Keluarga pemandu wanita Perodua Axia yang ditumbuk anggota tentera dalam kejadian di Senawang pada 29 Mac lalu memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit untuk tampil sebagai saksi.
Abang sulung kepada mangsa yang mahu dikenali sebagai Umar, 33, berkata, saksi-saksi lain penting bagi menguatkan pendakwaan di mahkamah.
"Kami memang dah ada rakaman video kejadian berlaku dan pemiliknya juga bersedia jadi saksi, cumanya kami perlukan saksi mata lain bagi menguatkan lagi kes di mahkamah.
"Peguam pun minta keluarga dapatkan saksi-saksi lain dan disebabkan itu saya harap sangat sesiapa yang menyaksikan kejadian, supaya dapat membantu kami," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, keluarga juga akan mengambil tindakan saman terhadap si pelaku bagi memberi pengajaran kepadanya selain keadilan kepada mangsa.
Dia turut mendakwa yang wakil pelaku ada datang berjumpa dan bersedia membayar pampasan kepada keluarganya tapi ditolak.
"Ada wakil keluarga si pelaku datang jumpa dan tawarkan pampasan atau ganti rugi, tapi kita tak terima kerana pentingnya kita nak keadilan.
"Kita juga nak beri pengajaran kepada suspek. Lagi pun yang dia pukul itu perempuan, adik saya yang tak salah pun," katanya.
Jelasnya lagi, sebagai seorang anggota tentera, suspek sepatutnya menjadi pelindung dan contoh kepada orang lain tapi sebaliknya mencederakan seorang wanita.
Bercerita mengenai keadaan adiknya pula, Umar memberitahu yang wanita itu sudah beransur pulih tetapi masih trauma dengan kejadian berlaku.
"Adik saya sekarang risau bila nak keluar memandu ke mana-mana dan kadang-kadang menangis bila teringat kejadian berlaku," katanya.
Media sebelum ini melaporkan tular satu klip video memaparkan seorang wanita yang memandu kereta Perodua Axia ditumbuk seorang lelaki di Senawang.
Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan berang kerana mendakwa anaknya dilanggar pemandu kereta terbabit ketika melintas jalan.
Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menumbuk mangsa dan melakukan khianat dengan merosakkan pintu depan kereta mangsa.
Bagaimanapun lelaki berusia 35 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.