JOHOR BAHRU – Dua individu termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun maut, manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bestari menghala ke Pekan Tiram, di sini pada petang Khamis.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan dua kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, Myvi yang dinaiki empat individu termasuk seorang bayi dan seorang kanak-kanak dipercayai membelok ke kanan ketika kejadian.
"Pada masa sama, sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan Myvi berkenaan.
"Sebuah lagi Hilux dari arah Ulu Tebrau turut gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Akibat impak pelanggaran, pemandu Myvi, seorang wanita tempatan berusia 58 tahun, tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman yang serius.
Seorang bayi lelaki yang turut berada dalam Myvi mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Tiga lagi penumpang – dua wanita berusia 83 dan 62 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun – dilaporkan parah dan kini dirawat di zon merah hospital sama.
Sementara itu, pemandu Hilux pertama, lelaki tempatan berusia 23 tahun hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Hilux kedua berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.