Air najis melimpah setiap kali hujan: Penduduk rayu tindakan segera

Iklan
Pasukan bomba membantu menyelamatkan mangsa terjejas berikutan banjir kilat yang berlaku pada Jumaat.

KLANG – Setiap kali hujan lebat, penduduk Taman Kapar Setia, Persiaran Hamzah Alang di sini terpaksa berdepan situasi tidak menyenangkan apabila bukan sahaja rumah mereka dilanda banjir kilat malah turut dimasuki air kumbahan bercampur najis.

Masalah itu didakwa semakin serius sejak kebelakangan ini, dipercayai berpunca daripada projek infrastruktur mega yang dijalankan berhampiran kawasan perumahan berkenaan.

Iklan
Iklan
Keadaan banjir kilat yang melimpah masuk dapur rumah penduduk di Taman Kapar Setia di Persiaran Hamzah Alang di sini pada Jumaat.

Seorang penduduk, Rosli Omar, 45, berkata, sebelum ini air hanya naik selepas dua jam hujan, namun kini keadaan berubah apabila air melimpah dalam tempoh kurang sejam.

"Lebih teruk, air yang masuk tu bukan sekadar air hujan, tetapi bercampur dengan air longkang dan najis dari tandas.

Iklan

"Bayangkan satu rumah kena cuci dengan sabun dan bahan pencuci pembunuh kuman setiap kali banjir,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Rosli, kejadian terbaharu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat ketika dia dalam perjalanan pulang dari rumah bapanya di Meru.

Iklan

"Tiba-tiba isteri telefon, beritahu air dah mula masuk rumah dan saya kemudiannya tengok dalam grup WhatsApp, semua jiran dah mula panik,” katanya.

Rosli yang sudah 12 tahun menetap di taman itu memaklumkan, tahun ini sahaja sudah tiga hingga empat kali kawasan perumahannya dilanda banjir kilat termasuk sekali pada Ramadan lalu.

"Saya harap pihak berwajib ambil tindakan segera terutama membersihkan parit secara berkala dan aliran air dari projek pembinaan berdekatan perlu dikawal.

"Selain itu, saya berharap sistem saliran sedia ada juga perlu dinaik taraf bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, hujan lebat berterusan sejak malam Khamis menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat.

Beliau memaklumkan, seramai 137 mangsa terjejas setakat jam 8 pagi Jumaat, membabitkan tiga zon utama iaitu daerah Shah Alam, Petaling dan Klang.