Ketagihan telefon pintar punca rogol, sumbang mahram - Timbalan Mufti Kelantan

Iklan
Nik Abdul Kadir (berdiri, tengah) bersama ahli jawatankuasa Masjid Jamek Muhammadi sempena Program Subuh Seperti Jumaat dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kota Bharu pada Jumaat

KOTA BHARU - Ketagihan telefon pintar antara punca utama gejala sosial yang mengakibatkan peningkatan kes jenayah, sumbang mahram dan rogol.

Menurut Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, boleh dikatakan setiap kanak-kanak mempunyai telefon pintar dan dapat mengakses media sosial.

Iklan
Iklan

Katanya, tanpa disedari ibu bapa ramai dalam kalangan mereka gemar melihat gambar atau video memaparkan seks dan jenayah.

"Kanak-kanak ini suka berkumpul dan bercakap sambil melihat pelbagai perkara di media sosial dan mereka mudah terpengaruh. Situasi ini sangat bahaya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan jenayah seks dan sumbang mahram membabitkan kanak-kanak di negeri ini.

NIK ABDUL KADIR

Nik Abdul Kadir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Subuh Seperti Jumaat dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek Muhammadi di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Imam Tua I Masjid Jamek Muhammadi, hairul Azizi Mokhtar.

Pada masa sama, beliau juga kesal kerana situasi memegang dan melihat telefon pintar juga boleh dilihat di semua tempat termasuk dalam masjid ketika mahu menunaikan solat.

"Di mana-mana sahaja kita lihat walaupun dalam masjid, mereka tetap dengan telefon pintar," katanya.

Nik Abdul Kadir memberitahu, kes jenayah yang berlaku dapat dikurangkan dengan pendidikan yang diterima di sekolah dan pemantauan ibu bapa.

Jemaah lelaki memenuhi ruang solat sempena Program Subuh Seperti Jumaat dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek Muhammadi.

"Ibu bapa pada hari ini sepatutnya mengambil berat dan memberikan pendidikan agama yang secukupnya sebagai benteng di akhirat.

"Ibu bapa yang menitikberatkan Islam dapat melahirkan anak-anak yang tahu hukum agama," katanya.

Sebelum itu, Nik Abdul Kadir menyertai Solat Subuh bersama lebih 2,000 jemaah yang diimamkan oleh Imam Tua II, Nik Mohd Afif Azhan Nik Mohd Naidi serta mengagihkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada kanak-kanak.

Sebelum ini media melaporkan pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bahawa sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkodkan iaitu meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.

Kebanyakan mangsa rogol dan pelaku merupakan remaja kanak-kanak membabitkan usia 10 tahun bagi perempuan dan 11 tahun bagi lelaki sehingga ada yang mengandung.

Selain itu, kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan juga membimbangkan yang mana kebanyakannya membabitkan kes suka sama suka.