SANDAKAN - Seramai 670 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Pelabuhan Sandakan pada Khamis.
Individu tersebut terdiri daripada kanak-kanak seawal usia satu tahun hingga golongan dewasa berusia 79 tahun yang sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, atas keprihatinan terhadap hak asasi manusia, pihaknya telah mendapatkan kerjasama daripada Kedutaan Republik Filipina bagi pengeluaran dokumen perjalanan kepada semua individu terlibat.
"Dokumen perjalanan itu adalah untuk penghantaran pulang kesemua PATI ke Bandar Zamboanga, Filipina, melalui pelabuhan di Sandakan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, setakat ini seramai 3,370 warga Filipina telah berjaya dipindahkan ke negara asal melalui pintu masuk negeri Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan warga asing yang terlibat dalam program pemindahan tahanan seramai 4,198 orang.
"Kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit sah selain tinggal melebihi masa.
"PATI tersebut telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan," katanya.
SH Sitti Saleha turut menegaskan bahawa semua tahanan PATI itu akan disenaraihitamkan dalam sistem Imigresen mengikut jenis kesalahan dilakukan.
"Imigresen Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.
"Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah, termasuk individu yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Jabatan juga menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warga asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang," katanya.
Sehubungan itu, Imigresen akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negara ini.