Kesesakan trafik di Kuala Pilah terkawal - MB Negeri Sembilan

Iklan
Aminuddin Harun

SEREMBAN - Isu kesesakan trafik musim perayaan di jalan Kuala Pilah masih terkawal jika dibandingkan di beberapa negeri lain terutama negeri Pantai Timur.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jalan itu mengalami kesesakan luar biasa musim raya kali ini susulan cuti panjang menyebabkan ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung.

Iklan
Iklan

"Kita patut bersyukur kerana berada di Negeri Sembilan berbanding Pantai Timur, untuk balik ke Kelantan ambil masa 20 jam, kita tempuh jalan sesak hanya di Kuala Pilah dan Rembau. Tempoh cuti raya panjang jadi ramai balik kampung.

"Kita sedia maklum, jalan negeri ini bukan hanya dilalui orang tempatan saja malah pengguna yang mahu ke Kelantan, Terengganu dan Pahang juga akan melalui jalan Kuala Pilah

Iklan

"Jelebu pun sama, jalan itu turut digunakan untuk ke negeri-negeri lain, sama juga di Rembau untuk ke Sungai Besi, pengguna akan cari jalan alternatif akhirnya menyebabkan kesesakan di sini, ” katanya mengulas isu kesesakan trafik musim perayaan di Kuala Pilah.

Kesesakan luar biasa Aidilfitri kali ini menyebabkan pengguna di jalan Kuala Pilah-Seremban terperangkap dalam kesesakan antara tiga hingga empat jam.

Iklan

Katanya, kerajaan negeri juga masih di peringkat perancangan dan kajian bagi cadangan pembinaan jalan baharu termasuk dari Kenaboi-Janda Baik bagi mengatasi isu berkenaan.

"Itu dalam perancangan dan kajian lagi kerana ia melibatkan pemotongan hutan bagi projek jalan.

"Ia akan memberi impak kepada rizab hutan, jadi perlu diteliti kawasan mana yang sesuai digunakan bagi tujuan berkenaan.” katanya.

Sinar Harian menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat pada Khamis melaporkan isu kesesakan Kuala Pilah-Seremban dihadapi penduduk setempat pada waktu puncak dan hujung minggu.

Jalan itu juga akan menjadi semakin sibuk pada musim perayaan susulan menjadi laluan pengguna untuk ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sebagai penyelesaian jangka masa panjang, pengguna mencadangkan pembinaan Jalan Kuala Pilah-Seremban kedua, bagi mengatasi masalah berkenaan.