KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi meningkatkan kualiti capaian Internet di semua institusi pendidikan Mara di seluruh negara.
Inisiatif ini melibatkan pelbagai institusi pendidikan Mara termasuk Maktab Rendah Sains Mara, Kolej Profesional Mara, GIATMARA, Universiti Kuala Lumpur dan German-Malaysian Institute.
SKMM dalam kenyataan berkata, kerjasama tersebut turut merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang mengandungi modul baharu sesuai untuk warga kerja dan pelajar institusi pengajian tinggi.
"Selain menyediakan khidmat konsultasi bagi penambahbaikan liputan jalur lebar berasaskan gentian optik, kerjasama ini juga akan meneroka penggunaan teknologi di kawasan kurang liputan.
"Ia turut melibatkan program pembangunan usahawan melalui pembudayaan ICT dan e-dagang serta latihan dalam bidang keselamatan siber untuk memenuhi keperluan industri digital,” katanya.
Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis berlangsung di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) pada Khamis.
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Eksekutif SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan beberapa pegawai kanan kerajaan.
Sebagai permulaan, SKMM menjalankan pemeriksaan liputan Internet di Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek apabila Portable Base Station dipasang sementara menanti pembinaan menara tetap bagi meningkatkan liputan di kawasan berkenaan.