KOTA KINABALU – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi tiada jaminan campur tangan kerajaan negeri dalam siasatan terhadap beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah.
Bahkan katanya, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut dirakam keterangan berkaitan kes berkenaan.
"Apabila berlaku isu terbaharu, kerajaan negeri tidak campur tangan pun kerana kita sudah beritahu jika mahukan penglibatan SPRM dalam pentadbiran kerajaan negeri, mesti ada ketelusan.
"Malah dalam kes ini, Ketua Menteri Sabah pun kenyataannya kita ambil. Saya tidak ingat tarikh bila diambil kenyataan tetapi beliau memberikan kerjasama.
"Jadi, kita tidak melindungi sesiapa. Kita telus dalam menjalankan siasatan malah Ketua Menteri juga telah dihubungi untuk memberikan kenyataan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Azam menjelaskan bahawa Ketua Menteri tidak terlibat dalam mana-mana video yang didedahkan sebelum ini.
"Apa yang telah dinyatakan dalam keterangannya saya tidak boleh dedahkan, tetapi kita bertanya untuk beliau menjelaskan.
"Cuma dalam kes ini kita yakin beliau tidak terlibat dalam sebarang video berkenaan, tetapi di peringkat beliau itu adalah perkara yang kita perlu dapatkan penjelasan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Azam turut memaklumkan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya juga telah dirakam keterangan berkaitan kes tersebut.
"Ya, siasatan itu juga dimasukkan dalam kertas siasatan yang sama kerana ia sebahagian daripadanya dan kita juga merakamkan melibatkan isu Speaker berkenaan. Jadi sekarang lapan ADUN dan Speaker," katanya.