PRK Ayer Kuning: Pastikan kempen sopan, tidak menyinggung - Aaron

Iklan
AARON

PUTRAJAYA - Setiap calon, penyokong dan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hendaklah memastikan segala bentuk komunikasi, termasuk di media sosial dan kempen semuka adalah sopan, tidak berunsur kebencian serta tidak menyinggung mana-mana pihak.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sebarang kenyataan atau tindakan yang berunsur provokasi, hasutan atau penghinaan terhadap mana-mana agama, kaum dan individu yang boleh menggugat keharmonian negara adalah tidak boleh diterima serta akan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

"Sebagai negara yang berbilang kaum, agama dan budaya adalah amat penting untuk kita menjaga tatasusila dalam percakapan sepanjang kempen ini selari dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan serta nilai-nilai Madani," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, perihal menyentuh mengenai agama, bangsa, dan raja (3R) perlu dijauhi bagi mengelakkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Iklan

"Saya ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam PRK Ayer Kuning agar menjalankan kempen dengan penuh rasa tanggungjawab dan menghormati semangat perpaduan yang telah lama kita bina.

"Proses demokrasi adalah ruang untuk kita menyuarakan pendapat dan memilih wakil rakyat, namun dalam suasana yang penuh hormat, beradab dan tidak mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Iklan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 April sebagai hari penamaan calon PRK bagi DUN Ayer Kuning.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 22 April sementara hari mengundi pada 26 April.

PRK Ayer Kuning dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon daripada Banrisan Nasional, Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia.