PELAWAK dan penyampai radio, Jep Sepahtu dilihat berkongsi secara tersirat keadaan dua anak lelakinya, Muhammad Khidir dan Abu Bakr menerusi hantaran di Instagram pada Rabu, bersempena ulang tahun kelahirannya ke-40.
Menurutnya, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin meluahkan rasa syukur dan sebak atas ‘hadiah’ yang diterimanya, sehingga menitiskan air mata.
"Syukur alhamdulillah atas pemberian ini. Ternyata sangkaan baik ku selama beberapa tahun ini akan terus menjadi sangkaan baik sepanjang hidup.
"Akan aku jaga amanah ini dengan penuh rasa syukur, cinta, kasih dan sayang. Khidir dan Abu Bakr seindah nama mu,” katanya.
Walaupun tidak menyatakan secara langsung keadaan anak-anaknya, Jep meninggalkan tanda pagar #AnakAbah, #AnakSyurga dan #Autisme, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan doa daripada peminat.
Terdahulu, Jep dan isterinya, pelakon, Sari Yanti, 41, mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2017.
Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Dariya Inara, 7, Muhammad Khidir, 5, dan Abu Bakr, 4.
Sari turut mempunyai dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu iaitu Barr Al-Aliy, 15, dan Baasit Al-Haq, 14.