MASUK minggu kedua Aidilfitri, semua sudah kembali kepada aktiviti kehidupan normal. Yang bekerja kembali bekerja manakala anak-anak yang masih belajar sudah kembali ke sekolah.
Hari raya merupakan waktu yang penuh dengan kemeriahan, kebahagiaan dan tradisi namun, tidak dapat dinafikan bahawa ia juga membawa pelbagai cabaran terutamanya dalam menjaga kesihatan dan pemakanan.
Jika sebulan berpuasa ada yang berjaya menurunkan berat badan sehingga beberapa kilogram, namun tidak dapat dinafikan dalam tempoh seminggu berhari raya, ramai juga yang 'berjaya' menaikkan semula berat badan yang hilang dalam tempoh sebulan berpuasa.
Pengalaman naik berat badan mendadak ini dialami sendiri oleh rakan penulis di pejabat. Dia yang baru masuk kerja menceritakan bagaimana adiknya terpaksa memotong cincin di jari manis.
Katanya, jari manis adiknya membengkak selepas berat badan naik akibat makan yang tidak dikawal semasa beraya.
Walaupun untuk meraikan Aidilfitri, pemakanan yang berlebihan ini boleh membawa kepada peningkatan berat badan yang mendadak.
Selain itu, kebiasaan dalam kalangan individu untuk tidak menjaga pola makan yang sihat sepanjang cuti raya menyebabkan mereka terdedah kepada peningkatan berat badan. Kurangnya aktiviti fizikal akibat kesibukan menjalani pelbagai acara dan sambutan hari raya turut menyumbang kepada keadaan ini.
Kejadian terpaksa memotong cincin di jari ini mengingatkan penulis tentang beberapa kejadian serupa yang pernah dilaporkan di akhbar.
Contohnya pada petang Aidilfitri baru-baru ini, di Baling, Kedah, seorang wanita terpaksa menahan sakit hampir lima jam selepas cincin emas suasa yang baru dibeli tersekat di jari telunjuk.
Wanita berusia 23 tahun itu datang ke Balai Bomba dan Penyelamat Baling bersama ahli keluarganya untuk mendapatkan bantuan pada jam 6.50 petang dan dimaklumkan cincin itu baru dibeli untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Untuk mencegah kenaikan berat badan yang tidak diingini semasa musim perayaan, individu perlu lebih bijak dalam merancang pemakanan dan gaya hidup mereka.
Pertama, mereka harus mengamalkan prinsip makan sederhana, menghindari makan berlebihan walaupun di tengah kegembiraan raya. Mengutamakan pengambilan makanan yang sihat, seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan protein tanpa lemak dapat membantu mengawal kalori yang masuk ke dalam tubuh.
Kedua, melibatkan diri dalam aktiviti fizikal seperti berjalan kaki selepas makan atau melakukan senaman ringan juga amat penting. Walaupun cuti raya memberi alasan untuk berehat, penting untuk mengekalkan rutin senaman harian bagi memastikan berat badan tidak meningkat secara mendadak.
Selain itu, menjaga pengambilan makanan manis dan bergula adalah satu langkah yang perlu diberi perhatian. Banyak makanan tradisional raya mengandungi kadar gula tinggi. Oleh itu, mengawal pengambilan kuih-muih dan minuman manis adalah sangat penting untuk memastikan berat badan tetap terkawal.
Secara keseluruhannya, kenaikan berat badan semasa musim raya adalah satu isu yang biasa berlaku akibat daripada pola pemakanan yang tidak terkawal dan kurangnya aktiviti fizikal. Perubahan fizikal yang berlaku seperti pembesaran jari yang menyebabkan cincin tidak dapat dipakai, adalah manifestasi daripada kesan buruk pemakanan yang berlebihan.
Oleh itu, untuk memastikan kesihatan tubuh badan sentiasa dalam keadaan baik, adalah penting untuk kita lebih berdisiplin dalam menjaga pemakanan, mengamalkan gaya hidup aktif dan menyedari kesan jangka panjang dari peningkatan berat badan.
Akhir sekali, jangan lupa tengok-tengokkan juga cincin di jari kita kerana raya kan sebulan!
* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penyunting Sinar Harian