KOTA BHARU - Segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini dikesan memiliki kenderaan dan bergerak di jalan raya tanpa lesen memandu yang sah.
Penemuan itu hasil pemeriksaan dalam operasi bersepadu bersama lima agensi penguat kuasa di beberapa lokasi sekatan jalan raya sekitar Kota Bharu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, operasi bermula jam 6 petang itu disertai seramai 85 pegawai daripada JIM, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar Kelantan.
"Operasi yang tertumpu kepada sekatan jalan raya ini bertujuan mengesan salah laku dan pelanggaran peraturan lalu lintas oleh pengguna jalan raya.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat segelintir warga asing memiliki kenderaan dan memandu serta menunggang tanpa lesen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa menahan dua PATI yang menunggang motosikal tanpa sebarang dokumen termasuk tidak memiliki pas atau permit sah selain tinggal lebih masa di negara ini.
"Mereka yang ditahan ialah seorang lelaki warga Kemboja dan seorang lelaki warga Myanmar.
"Kedua-dua individu berkenaan dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jelas beliau, JIM Kelantan serius dalam membanteras kehadiran PATI serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan golongan itu.
"Kami menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kewujudan PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang melanggar undang-undang,” katanya.