Sindiket 'job scam' tumpas, lima mangsa dari Johor diselamatkan

Iklan
Polis Johor menasihati orang ramai agar lebih berwaspada terhadap tawaran kerja di luar negara. (Gambar kecil: Kumar)

JOHOR BAHRU - Lima individiu yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan luar negara berjaya diselamatkan selepas Kementerian Luar Negeri bersama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand, membawa mereka pulang pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kelima-lima mangsa terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 34 tahun.

Iklan
Iklan

"Mereka adalah sebahagian daripada 25 rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang selepas menjadi mangsa sindiket 'job scam' yang aktif di Myanmar.

"Kesemua mangsa diselamatkan di bawah peruntukan Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Kumar berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu beroperasi dengan memperdaya mangsa melalui tawaran kerja di Thailand yang menjanjikan pendapatan antara RM8,000 hingga RM15,000.

Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, mangsa dibawa ke kawasan terpencil di Myanmar dan dipaksa untuk mencari individu lain sebagai ‘keldai akaun’ di Thailand.

Iklan

Ujar beliau, pergerakan mangsa dikawal sepenuhnya oleh anggota sindiket, manakala barangan peribadi mereka turut dirampas.

"Siasatan susulan pada 13 Mac lalu telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun di Johor Bahru kerana dipercayai bertindak sebagai ejen sindiket.

"Dua lagi suspek lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 25 tahun turut diberkas di Johor Bahru dan Batu Pahat. Tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan dalam kegiatan sindiket turut dirampas.

"Empat kertas siasatan telah dibuka dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara," jelasnya.

Tambah beliau, bagi kes di Batu Pahat, dua suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 3 April dan kini direman di Penjara Muar sementara menunggu perbicaraan.

Menurutnya, di Johor Bahru pula pertuduhan terhadap dua suspek akan dilakukan pada 10 April di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

"Polis Johor menasihati orang ramai agar lebih berwaspada terhadap tawaran kerja di luar negara yang menjanjikan gaji tinggi dengan kelayakan rendah. Lakukan semakan latar belakang syarikat sebelum menerima tawaran.

"Sebarang maklumat berkaitan penipuan atau tawaran kerja mencurigakan boleh disalurkan melalui Hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di talian 07-2212999," katanya.