Projek kapal perang LMSB2 TLDM masuk fasa pembinaan utama

Iklan
Delegasi Malaysia yang diketuai Lokman (empat dari kanan) dan Zulhelmy (lima dari kanan) ketika menghadiri upacara peletakan lunas di Istanbul Shipyard pada Selasa.

ISTANBUL - Projek Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Turkiye kini memasuki fasa pembinaan utama apabila upacara peletakan lunas atau 'keel laying' disempurnakan di Istanbul Shipyard pada Selasa.

Majlis itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr) Zulhelmy Ithnain dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Iklan
Iklan
Zulhelmy (dua dari kanan) mengadakan lawatan kerja ke Istanbul Shipyard.

Turut hadir, delegasi Kementerian Pertahanan, wakil TLDM, Pasukan Projek LMSB2 serta Timbalan Pengurus Besar Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM), Bülent Soydal dan rakan industri dari Turkiye.

'Keel laying' merupakan detik penting dalam industri pembinaan kapal, menandakan permulaan proses penyambungan blok-blok utama struktur kapal dan melambangkan peralihan daripada fasa awal pembinaan kepada pembentukan fizikal kapal secara menyeluruh.

Iklan
Peletakan lunas kapal menjadi satu lagi tanda aras dalam fasa pembinaan bagi LMSB2.

Upacara itu merupakan kesinambungan kepada upacara pemotongan keluli (steel cutting) yang telah dilaksanakan pada 4 Disember 2024, menandakan permulaan projek pembinaan tiga kapal LMSB2.

Sepanjang lawatan kerja delegasi Malaysia ke Turkiye, Mesyuarat Project Monitoring Committee (PMC) pada 7 April 2025 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bersama wakil syarikat pembinaan turut diadakan.

Iklan

Mesyuarat tersebut bertujuan memantau pengurusan projek, pentadbiran, pelaksanaan kontrak dan perkembangan semasa pembinaan kapal.

Dalam taklimat yang dibentangkan, pihak syarikat memaklumkan bahawa kemajuan kerja bagi ketiga-tiga kapal adalah sangat memberangsangkan dan berjalan mengikut jadual.

Mengikut perancangan, kapal-kapal LMSB2 dijangka siap dan akan dilancarkan pada pertengahan 2026, sebelum diserahkan secara rasmi kepada TLDM menjelang penghujung 2027.